Politik
PAS pun tak campur, Tapi Anwar larang arak di dewan sekolah Cina – Guan Eng
- Menurut Guan Eng, rasa tidak puas hati masyarakat Cina berpunca daripada tanggapan bahawa Anwar tunduk kepada desakan golongan ekstrem dan perkauman dengan mencampuri urusan masyarakat bukan Islam.
- “Walaupun PAS pernah menjadi kerajaan, mereka tidak pernah mengganggu amalan masyarakat Cina atau aktiviti di dewan sekolah mereka,” katanya.
KUALA LUMPUR — Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, menyelar kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam berhubung larangan penyajian arak di kawasan sekolah, termasuk dewan awam yang dibina sepenuhnya melalui dana masyarakat Cina.
Menurut Guan Eng, kenyataan itu menimbulkan rasa tidak senang dan kebimbangan mendalam dalam kalangan masyarakat Cina, kerana ia dianggap mencampuri amalan tradisi yang telah diamalkan tanpa gangguan sejak kemerdekaan pada tahun 1957.
Guan Eng menjelaskan bahawa penyajian arak dalam majlis perkahwinan, jamuan kuil dan acara hiburan yang diadakan di dewan sekolah awam Cina telah menjadi amalan biasa yang tidak melibatkan pelajar dan diadakan di luar waktu persekolahan.
“Sekolah-sekolah Cina terkenal sebagai institusi pendidikan cemerlang yang berjaya melahirkan pelajar berakhlak baik dan beretika. Mereka tidak pernah terdedah kepada arak meskipun majlis sedemikian diadakan di dewan sekolah,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Lim Guan Eng.
Beliau turut menegaskan bahawa kadar jenayah seksual di sekolah-sekolah Cina adalah sangat rendah, menunjukkan bahawa amalan masyarakat tersebut tidak pernah membawa kesan negatif terhadap moral pelajar.
Menurut Guan Eng, rasa tidak puas hati masyarakat Cina berpunca daripada tanggapan bahawa Anwar tunduk kepada desakan golongan ekstrem dan perkauman dengan mencampuri urusan masyarakat bukan Islam.
“Walaupun PAS pernah menjadi kerajaan, mereka tidak pernah mengganggu amalan masyarakat Cina atau aktiviti di dewan sekolah mereka,” katanya.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan sekatan lain selepas ini.
“Adakah selepas arak, daging khinzir pula akan diharamkan di dewan sekolah Cina bagi majlis perkahwinan atau jamuan adat?” soal beliau.
Dalam pada itu, Guan Eng memaklumkan bahawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, telah mengambil inisiatif untuk berunding dengan Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak.
Menurutnya, Loke memahami keresahan masyarakat Cina dan mahu memastikan amalan tradisi serta adat masyarakat dapat diteruskan tanpa menjejaskan sensitiviti mana-mana pihak.
Beliau menambah, sebelum ini Loke telah berjaya memastikan pelajar cemerlang SPM dan STPM mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam mengikut kelayakan mereka, menunjukkan komitmen DAP dalam memperjuangkan hak pendidikan dan kepelbagaian budaya di negara ini.-The Merdeka Times