Antarabangsa
“Israel bangsa pilihan tuhan,” – Pengerusi Christians United for Israel
- Pastor Hagee menegaskan asas teologi Kristian Zionisme dalah fahaman yang menyokong penubuhan dan perlindungan negara Israel berdasarkan tafsiran kitab Bible.
- “Israel ialah satu-satunya bangsa di dunia yang Tuhan sendiri tebus untuk-Nya. Bangsa Yahudi tetap dipilih dan masih dikasihi,” katanya sambil menolak pandangan bahawa Gereja telah menggantikan Israel dalam pandangan Tuhan.
SAN ANTONIO — Ucapan lantang Pastor John Hagee, pengasas Hagee Ministries dan Pengerusi Christians United for Israel (CUFI), kembali mencetuskan perhatian antarabangsa apabila beliau menegaskan bahawa Israel merupakan bangsa pilihan Tuhan yang ditebus untuk diri-Nya sendiri, dalam satu acara besar-besaran menyokong Israel di Texas baru-baru ini.
Acara tahunan bertajuk Night to Honor Israel yang memasuki tahun ke-45 itu diadakan di gereja Cornerstone Church, San Antonio, dengan kehadiran ribuan penyokong Kristian Zionis serta pemimpin Yahudi tempatan. Turut hadir ialah Senator Ted Cruz (R-Texas), Rabbi Avraham Scheinberg, dan Livia Link-Raviv, Konsul Jeneral Israel bagi wilayah barat daya Amerika Syarikat.
“Israel adalah satu-satunya bangsa di bumi yang Tuhan sendiri pergi untuk menebus. Bangsa Yahudi tetap dipilih dan masih dikasihi,” kata Hagee.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa gereja Kristian telah menggantikan peranan Israel dalam rancangan ketuhanan, sambil menegaskan bahawa keberadaan dan keselamatan Israel adalah sebahagian daripada janji Tuhan dalam Kitab Suci.
Fahaman ini menjadi asas kepada pengaruh politik golongan evangelis di Amerika Syarikat, yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan dasar luar pro-Israel termasuk semasa pentadbiran Presiden Donald Trump.
Hagee turut memuji Trump kerana menentang antisemitisme dan mempertahankan Israel, merujuk kepada keputusan Trump memindahkan Kedutaan AS ke Baitulmaqdis pada 2018, langkah yang mendapat tentangan dunia Islam.
Senator Ted Cruz pula menyatakan sokongan padu terhadap Israel dan mengecam keras pihak yang dianggap menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.
“Siapa yang membenci Israel, membenci Amerika. Siapa yang membenci Yahudi, membenci Kristian. Setiap pengganas gila di Hamas, Hezbollah atau Iran yang dimusnahkan Israel, menjadikan Amerika lebih selamat,” katanya disambut sorakan hadirin.
Dalam acara sama, Hagee Ministries mengumumkan sumbangan melebihi AS$2 juta (lebih RM9 juta) kepada badan kebajikan Yahudi dan Israel, termasuk Afikim Family Enrichment Association, Galilee Medical Center, Save A Child’s Heart, dan Women’s International Zionist Organization (WIZO).
Sejak penganjuran pertama pada 1981, Hagee Ministries telah menyalurkan lebih AS$135 juta (kira-kira RM640 juta) kepada organisasi Israel dan Yahudi di seluruh dunia menjadikannya antara penyumbang terbesar gerakan Kristian Zionis moden.
Namun, kenyataan bahawa “Israel bangsa pilihan Tuhan” dikritik oleh sejumlah pemerhati antarabangsa sebagai usaha menjustifikasi penindasan terhadap rakyat Palestin atas dasar keagamaan.
Penganalisis agama dan politik Timur Tengah menilai bahawa naratif teologi seperti ini memberi legitimasi moral kepada dasar perluasan wilayah dan kekejaman ketenteraan Israel di Gaza, di bawah alasan perlindungan terhadap “tanah suci.”
Bagi ramai pihak, acara sebegini bukan sahaja menunjukkan pengaruh agama dalam geopolitik Amerika-Israel, tetapi juga memperkukuh hubungan ideologi antara Zionisme dan evangelisme moden yang kini menembusi dasar luar Amerika Syarikat.-The Merdeka Times