Antarabangsa
Turkiye umum langkah baharu lindungi institusi keluarga, Sekat LGBTQ+
- Walaupun aktiviti sesama jantina kini tidak menyalahi undang-undang di Turkiye, negara itu tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, kesatuan sivil, mahupun hak penjagaan atau pengangkatan anak oleh pasangan sama jantina.
- Cadangan pindaan terhadap Artikel 225 Kanun Keseksaan Turkiye, bertajuk “Perbuatan Tidak Sopan”, menetapkan bahawa mana-mana individu yang berkelakuan “bertentangan dengan jantina yang ditetapkan sejak lahir dan moral umum” boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga tiga tahun.
- Draf tersebut turut menyatakan bahawa mana-mana individu yang mengadakan majlis pertunangan atau perkahwinan sesama jantina akan berdepan hukuman penjara antara satu tahun enam bulan hingga empat tahun.
ANKARA — Kerajaan Turki dilaporkan sedang menyiapkan satu rang undang-undang baharu yang akan memperketatkan lagi sekatan terhadap komuniti LGBTQ+, termasuk mengenakan hukuman penjara terhadap individu yang didakwa berkelakuan bertentangan dengan jantina asal dan moral umum.
Menurut laporan wartawan Ceren Bayar dari portal T24, draf Rang Undang-Undang Kehakiman Ke-11 itu dijangka dikemukakan ke Parlimen dalam masa terdekat.
Walaupun aktiviti sesama jantina kini tidak menyalahi undang-undang di Turkiye, negara itu tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, kesatuan sivil, mahupun hak penjagaan atau pengangkatan anak oleh pasangan sama jantina.
Cadangan pindaan terhadap Artikel 225 Kanun Keseksaan Turkiye, bertajuk “Perbuatan Tidak Sopan”, menetapkan bahawa mana-mana individu yang berkelakuan “bertentangan dengan jantina yang ditetapkan sejak lahir dan moral umum” boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga tiga tahun.
Selain itu, umur minimum bagi pembedahan pengesahan jantina akan dinaikkan daripada 18 kepada 25 tahun, dan syarat untuk menjalani rawatan tersebut akan diperketat.
Antara syarat baharu yang dicadangkan termasuklah pesakit mesti tidak berkahwin, telah disterilkan, dan disahkan secara perubatan bahawa penukaran jantina adalah perlu atas faktor kesihatan mental.
Mereka yang menjalankan pembedahan tanpa kebenaran sah turut boleh dikenakan hukuman penjara tiga hingga tujuh tahun serta denda antara 1,000 hingga 10,000 hari.
Draf tersebut turut menyatakan bahawa mana-mana individu yang mengadakan majlis pertunangan atau perkahwinan sesama jantina akan berdepan hukuman penjara antara satu tahun enam bulan hingga empat tahun.
Bagi kesalahan “berhubungan seks secara terbuka atau berkelakuan lucah di tempat awam”, hukuman penjara maksimum juga dicadang untuk dinaikkan daripada satu tahun kepada tiga tahun.
Menurut teks draf itu, peraturan baharu ini bertujuan untuk “melahirkan generasi yang sihat secara fizikal dan mental serta melindungi institusi kekeluargaan dan struktur sosial.”
Kerajaan Turki mempertahankan langkah itu dengan alasan untuk melindungi nilai moral dan struktur sosial masyarakat, sambil menegaskan bahawa peraturan baharu ini akan memperkukuh institusi keluarga serta mencegah serangan terhadap norma jantina.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perarakan Pride dan aktiviti hak LGBTQ+ sering diharamkan di Turkiye, dengan ratusan penunjuk perasaan ditahan.
Presiden Recep Tayyip Erdoğan pula secara terbuka menentang komuniti LGBTQ+, menyifatkan mereka sebagai “golongan songsang” dan ancaman kepada institusi keluarga.
Pada Januari lalu, Erdoğan mengumumkan bahawa tahun 2025 akan diisytiharkan sebagai “Tahun Keluarga” dan berikrar untuk memperkukuh nilai tradisional serta meningkatkan kadar kelahiran negara.
Dalam ucapannya di Ankara, beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk melindungi anak muda daripada ideologi songsang.
Pada Oktober 2023, Erdoğan pernah menegaskan dalam Kongres Parti AK bahawa kerajaannya tidak akan mengiktiraf LGBT”dan akan memusnahkan akar-akar gerakan yang cuba merosakkan institusi keluarga.
“Kami ahli kepada sebuah struktur yang mempertahankan kesucian keluarga. Kami akan menghapuskan segala bentuk tindakan yang menyokong fahaman songsang ini,”tegas Erdogan-The Merdeka Times