Connect with us

Antarabangsa

UAE main peranan dalam kebangkitan pengkhianat Gaza “Yasser Abu Shabab” – Wartawan Gaza

Published

on

Foto: Wartawan Gaza, Dr Ali Abo Rezeg

 

  • Dalam penulisan beliau di laman Facebooknya, Dr Ali menggariskan beberapa dakwaan dan bukti yang menurutnya menunjukkan campur tangan politik dan perhubungan awam oleh UAE terhadap perkembangan di Gaza.
  • Beliau mendakwa puluhan akaun media sosial yang dikaitkan dengan UAE melancarkan kempen perhubungan awam yang mempromosi imej Yasser Abu Shabab sebagai fenomena rakyat, bukannya seorang pengkhianat seperti yang digambarkan oleh sebahagian masyarakat Palestin.

GAZA — Wartawan Gaza, Dr Ali Abo Rezeg, mendakwa terdapat peranan jelas dan berterusan yang dimainkan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara terbuka dan terselindung dalam menyokong kemunculan watak yang dikenali sebagai Yasser Abu Shabab, yang menurutnya dianggap sebagai kumpulan pemisah atau pengkhianat di Semenanjung Gaza.

Dalam penulisan beliau di laman Facebooknya, Dr Ali menggariskan beberapa dakwaan dan bukti yang menurutnya menunjukkan campur tangan politik dan perhubungan awam oleh UAE terhadap perkembangan di Gaza.

Menurut Dr Ali, UAE didakwa bertindak dalam persekitaran yang bertujuan memecah-belahkan masyarakat Arab yang selama ini bertolak ansur dengan kewujudan kumpulan-kumpulan Islam, bukan sekadar berkonfrontasi tetapi untuk menyingkirkan pengaruh mereka secara menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan politik UAE memberi tumpuan kepada melemahkan dan memecah-belah struktur sokongan tradisi masyarakat tempatan.

Dalam dakwaannya yang kedua, Dr Ali menyatakan UAE tidak mengiktiraf muqawamah (gerakan pembebasan) Palestin sebagai gerakan pembebasan nasional, sebaliknya mengehadkan tafsiran kepada aspek politik Islam sahaja.

“Seorang diplomat UAE dalam sebuah persidangan antarabangsa dua hari lalu telah menganggap muqawamah Palestin sebagai ancaman kepada keselamatan negara tersebut,” jelas Dr Ali.

Beliau turut merujuk beberapa bukti visual dan media yang, menurutnya, menyokong dakwaan itu.

Antaranya, tersebar sebuah video beberapa anggota Abu Shabab menaiki jip yang memaparkan nombor pendaftaran UAE, satu babak yang mengejutkan khalayak Palestin dan rakyat Gaza khususnya.

Selain itu, beliau mendakwa puluhan akaun media sosial yang dikaitkan dengan UAE melancarkan kempen perhubungan awam yang mempromosi imej Yasser Abu Shabab sebagai fenomena rakyat, bukannya seorang pengkhianat seperti yang digambarkan oleh sebahagian masyarakat Palestin.

“Terdapat pertubuhan tekanan politik dan lobi yang rapat dengan UAE di Amerika Syarikat yang menjalankan kempen serupa, sehingga mendorong akhbar besar antarabangsa New York Times dan The Sunday Times menerbitkan temu bual dan artikel bersama Yasser Abu Shabab,” tambahnya.

Dr Ali mendakwa beberapa media UAE juga menyiarkan bahan promosi yang memaparkan ahli keluarga Abu Shabab dalam konteks yang menyerlahkan peranan sosialnya, termasuk gambaran isteri beliau bersama kanak-kanak Palestin di pusat pendidikan sebagai gambaran memberi imej legitimasi kepada individu berkenaan.

Dr Ali seterusnya menyentuh laporan bahawa wujud percanggahan dasar antara UAE dan Mesir berhubung pendirian Kaherah dalam rundingan terkini, di mana Mesir dikatakan menuntut tindakan untuk membanteras fenomena pemisah dan mengintegrasikan semula muqawamah Palestin selepas perang.

Beliau mengakhiri hujahnya dengan menyatakan bahawa permusuhan dan kerjasama sesetengah pihak Arab terhadap rakyat Palestin kini dijalankan secara terbuka dan berani.

“Permusuhan beberapa pihak Arab terhadap rakyat Palestin dan kerjasama mereka dalam pembunuhan serta genosid tidak lagi dijalankan secara tersembunyi, malahan dilakukan secara terbuka dan dengan berani.

“Semua orang kini tahu mengapa ini berlaku, untuk siapa dan demi kepentingan siapa,” tulis beliau di laman Facebooknya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author