Connect with us

Terkini

Israel pulangkan jenazah Palestin dengan kesan diseksa, dihukum mati, digilis kereta kebal

Published

on

Foto: Jenazah rakyat Palestin yang dipulangkan oleh Israel
  • Sumber dari Hospital Nasser di Khan Younis, yang menerima jenazah-jenazah tersebut memberitahu bahawa sebahagian daripada jenazah itu baru sahaja terbunuh, manakala yang lain tiba dalam keadaan telah reput atau hanya tinggal sebahagian anggota badan.
  • Beberapa jenazah menunjukkan tanda-tanda penderaan teruk, termasuk kesan cekikan, tulang patah, dan tubuh yang telah dikerat. 
  • Ada juga jenazah yang dijumpai dengan tangan dan kaki terikat serta mata ditutup. Sebahagian lagi hilang anggota badan.

 

GAZA – Jenazah rakyat Palestin yang dipulangkan oleh Israel menunjukkan tanda-tanda penyeksaan, pelaksanaan hukuman mati, dan ada yang dipercayai telah digilis kereta kebal.

Pada hari Selasa, Israel telah menyerahkan kira-kira 45 jenazah yang tidak dikenal pasti kepada Gaza sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tawanan dengan Hamas.

Sumber dari Hospital Nasser di Khan Younis, yang menerima jenazah-jenazah tersebut melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa, memberitahu Middle East Monitor bahawa sebahagian daripada mereka baru sahaja terbunuh, manakala yang lain tiba dalam keadaan telah reput atau hanya tinggal sebahagian anggota badan.

Beberapa jenazah menunjukkan tanda-tanda penderaan teruk, termasuk kesan cekikan, tulang patah, dan tubuh yang telah dikerat. 

Ada juga jenazah yang dijumpai dengan tangan dan kaki terikat serta mata ditutup. Sebahagian lagi hilang anggota badan.

Sumber tersebut turut memaklumkan bahawa sebahagian daripada jenazah itu dipercayai milik individu yang terbunuh pada 7 Oktober 2023, selepas digilis oleh kereta kebal Israel.

Sebanyak 45 lagi jenazah dipulangkan pada hari Rabu, namun belum diperiksa setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Penyerahan jenazah ini dibuat mengikut perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada hari Jumaat, bagi menamatkan perang di Gaza serta pertukaran tawanan dan jenazah.

Pada hari Isnin, Hamas membebaskan 20 tawanan hidup dari Israel sebagai pertukaran kepada kira-kira 2,000 tahanan Palestin.

Pergerakan Palestin itu setakat ini telah menyerahkan 7 daripada 28 jenazah tawanan Israel yang telah meninggal dunia, dengan selebihnya akan dipulangkan setelah dikenal pasti dan ditemui.

Sebagai balasan, Israel telah melepaskan 90 jenazah rakyat Palestin yang ditahan sebelum, semasa, dan selepas perang. 

Secara keseluruhan, sekitar 400 jenazah Palestin dijangka akan dipulangkan dalam perjanjian ini.

Israel telah lama mengamalkan dasar menahan jenazah rakyat Palestin dan Arab lain sejak tahun 1948. 

Puluhan jenazah dikebumikan di tempat yang dikenali sebagai “perkuburan nombor”, yang hanya ditandakan dengan kod angka tanpa nama.

Sebahagian lagi yang terbunuh oleh tentera Israel atau meninggal dunia dalam tahanan Israel masih disimpan di bilik mayat.

Bilangan sebenar jenazah rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel masih tidak diketahui.

Beberapa pertubuhan hak asasi manusia telah berulang kali mengecam dasar lama Israel yang menahan jenazah rakyat Palestin, dan menggesa agar jenazah-jenazah tersebut segera dipulangkan kepada keluarga mereka.

Di bawah undang-undang Israel, penahanan jenazah rakyat Palestin adalah dibenarkan dan telah dilaksanakan di seluruh wilayah Palestin yang diduduki.

Namun begitu, undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara jelas melarang penahanan jenazah. Ia menyatakan bahawa jenazah mesti dilayan dengan bermaruah, “dikebumikan dengan penuh hormat” dan “jika boleh, mengikut ajaran agama si mati”.

Perkara 130 Konvensyen Geneva Keempat turut menetapkan bahawa kubur si mati mesti dihormati, diselenggara dengan baik, dan ditanda dengan cara yang membolehkan ia dikenalpasti setiap masa. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author