Connect with us

Antarabangsa

12 orang asal maut dalam tahanan tahun ini, cetus kecaman di Australia

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Jumlah kematian tahanan dalam kalangan penduduk asal meningkat 18.9 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir.
  • “Ini satu krisis dan tragedi yang boleh dielakkan, dan seharusnya membimbangkan seluruh rakyat NSW. Hukuman penjara tidak sepatutnya menjadi hukuman mati,” tegas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Karly Warner.

 

SYDNEY– Negeri New South Wales (NSW) di Australia mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah kematian tahanan dalam kalangan penduduk asal Aboriginal dan Kepulauan Torres Strait tahun ini, sekali gus mencetuskan kemarahan awam dan desakan keadilan daripada pelbagai pihak.

Menurut laporan ABC News pada Rabu, Koroner Negeri NSW, Teresa O’Sullivan, mendedahkan sebanyak 12 kematian dalam tahanan direkodkan setakat tahun ini, satu angka yang disifatkan sebagai “pencapaian yang amat menyedihkan”.

Dalam kenyataan awam yang jarang dibuat, O’Sullivan menegaskan keadaan itu mencerminkan krisis mendalam dan keterwakilan berlebihan masyarakat Orang Asal dalam sistem penjara negeri tersebut.

“Mereka ini individu sebenar, dan setiap kematian memerlukan siasatan bebas, teliti dan penuh rasa hormat serta akauntabiliti,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa jumlah kematian tahanan dalam kalangan penduduk asal meningkat 18.9 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir.

Organisasi Aboriginal Legal Service (NSW/ACT) pula menyifatkan dapatan itu sebagai rekod yang mengerikan.

“Ini satu krisis dan tragedi yang boleh dielakkan, dan seharusnya membimbangkan seluruh rakyat NSW. Hukuman penjara tidak sepatutnya menjadi hukuman mati,” tegas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Karly Warner.

Pada bulan Mei lalu, seorang lelaki Orang Asal berusia 24 tahun turut meninggal dunia selepas dikatakan ditahan dan ditekan oleh dua anggota polis berpakaian preman ketika bergaduh dengan pengawal keselamatan pasar raya di Alice Springs, Wilayah Utara.

Sejak tahun 1991, Australia dilaporkan telah merekodkan 594 kematian Orang Asal dalam tahanan, termasuk sembilan kes pada tahun ini sahaja, menurut data yang diperoleh ABC.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author