Connect with us

Terkini

Tindakan kibarkan bendera Israel boleh dikenakan hukuman -Penganalisis Kriminologi

Published

on

Foto: Penganalisis kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim
  • “Perbuatan mengibarkan bendera Israel di bumi Malaysia, apatah lagi di kawasan awam, amat tidak wajar dan menunjukkan kepekaan yang lemah terhadap perjuangan rakyat Palestin.Walaupun Malaysia menjunjung kebebasan bersuara, kebebasan itu tidak seharusnya disalahgunakan sehingga menghina nilai kemanusiaan dan solidariti negara terhadap penindasan yang berlaku.Tindakan provokatif seperti ini harus ditangani dengan tegas, namun dalam masa yang sama berhemah.” – Penganalisis Kriminologi Bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim.

 

KUALA LUMPUR – Tindakan mengibarkan bendera Israel di kawasan awam, walaupun atas alasan lakonan atau gimik semata-mata, tetap boleh dianggap sebagai perbuatan provokatif yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi mencetuskan ketegangan awam, kata penganalisis kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim.

Beliau menegaskan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya perbuatan itu dilihat mencabar nilai kemanusiaan atau solidariti negara terhadap rakyat Palestin yang sedang ditindas oleh rejim Zionis.

“Perbuatan mengibarkan bendera Israel di bumi Malaysia, apatah lagi di kawasan awam, amat tidak wajar dan menunjukkan kepekaan yang lemah terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Walaupun Malaysia menjunjung kebebasan bersuara, kebebasan itu tidak seharusnya disalahgunakan sehingga menghina nilai kemanusiaan dan solidariti negara terhadap penindasan yang berlaku.

“Tindakan provokatif seperti ini harus ditangani dengan tegas, namun dalam masa yang sama berhemah,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times hari ini.

Menurut Shahul Hamid, sekiranya perbuatan itu dilakukan tanpa niat jahat dan tidak menimbulkan gangguan awam, pihak berkuasa boleh memilih pendekatan pendidikan atau amaran rasmi, seperti menjalankan kaunseling patriotik bagi meningkatkan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan individu terlibat.

“Jika ia benar-benar sekadar lakonan tanpa unsur penghinaan atau niat menyokong rejim Zionis, maka langkah mendidik lebih sesuai. Tetapi jika terbukti dilakukan dengan niat provokasi atau menyebarkan mesej simpati terhadap Israel, maka tindakan tegas wajar diambil,” jelasnya.

Mengulas dari sudut undang-undang, beliau menjelaskan bahawa beberapa peruntukan boleh digunakan oleh pihak berkuasa bagi menangani isu tersebut.

“Antaranya ialah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan kenyataan atau tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Selain itu, perbuatan yang menimbulkan kebencian antara kaum atau agama boleh disiasat di bawah Akta Hasutan, manakala Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga boleh digunakan jika simbol atau kandungan berunsur Zionis disebarkan melalui media sosial,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menyarankan agar kerajaan memperkukuh kempen kesedaran nasional mengenai isu Palestin melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi, supaya masyarakat memahami konteks sebenar perjuangan kemanusiaan di Gaza serta tidak mudah terpengaruh dengan propaganda asing.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan sekumpulan individu melakukan gimik solidariti Palestin dengan mengibarkan bendera Israel.

Rakaman tersebut menunjukkan sebuah bot yang berlakon sebagai tentera Israel sambil mengibarkan lima helai bendera rejim Zionis di atas kapal berkenaan, yang kemudian mencetuskan kecaman orang ramai di media sosial.- The Merdeka Times

 

 

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author