Antarabangsa
Puluhan terbunuh dalam pertempuran Pakistan–Afghanistan, Sempadan ditutup
- Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat selepas Islamabad menuntut Taliban mengambil tindakan terhadap militan Pakistan yang dikatakan melancarkan serangan dari wilayah Afghanistan.
- Taliban bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan tiada kumpulan militan Pakistan beroperasi di wilayah mereka.
- Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, menegaskan bahawa Afghanistan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang pencerobohan.
- “Tiada sebarang ancaman terhadap mana-mana bahagian wilayah Afghanistan. Namun, Emirat Islam dan rakyat Afghanistan akan mempertahankan tanah air mereka dengan penuh ketegasan,” katanya.
ISLAMABAD – Puluhan pejuang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran sengit di sempadan Pakistan–Afghanistan semalam menjadikannya insiden paling serius antara kedua-dua negara sejak Taliban mengambil alih kuasa di Kabul pada 2021, lapor Reuters.
Tentera Pakistan memaklumkan bahawa 23 anggota tenteranya terbunuh, manakala pihak Taliban mengesahkan sembilan anggota mereka maut dalam pertempuran tersebut. Kedua-dua pihak mendakwa telah menumpaskan lebih ramai musuh berbanding angka yang dilaporkan pihak lawan, namun setakat ini tiada bukti dapat mengesahkan jumlah sebenar korban.
Ketegangan antara kedua-dua negara meningkat selepas Islamabad menuntut Taliban mengambil tindakan terhadap militan Pakistan yang dikatakan melancarkan serangan dari wilayah Afghanistan.
Taliban bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan tiada kumpulan militan Pakistan beroperasi di wilayah mereka.
Menurut laporan Reuters, pertempuran terbaru itu tercetus selepas Pakistan melancarkan serangan udara pada Khamis lalu di Kabul dan di sebuah pasar di timur Afghanistan.
Serangan tersebut mencetuskan tindak balas balistik oleh pasukan Taliban yang membalas dengan menembak ke arah beberapa pos sempadan Pakistan pada malam Sabtu.
Pakistan mendakwa pihaknya membalas dengan tembakan artileri dan senjata berat, dan kedua-dua negara mendakwa berjaya memusnahkan beberapa pos sempadan pihak lawan. Rakaman video yang dikongsi oleh pegawai keselamatan Pakistan turut menunjukkan pos kawalan Afghanistan terkena bedilan meriam.
Menjelang pagi Ahad, tembak-menembak dilaporkan mulai reda, namun pertempuran kecil masih berlaku di wilayah Kurram, Pakistan, menurut pegawai tempatan.
Pihak Kementerian Pertahanan Afghanistan pula memaklumkan operasi mereka berakhir tepat tengah malam waktu tempatan.
Kabul mengesahkan bahawa mereka menghentikan serangan atas permintaan Qatar dan Arab Saudi, dua negara Teluk yang mengeluarkan kenyataan menyeru agar ketegangan diselesaikan segera.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, menegaskan bahawa Afghanistan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang pencerobohan.
“Tiada sebarang ancaman terhadap mana-mana bahagian wilayah Afghanistan. Namun, Emirat Islam dan rakyat Afghanistan akan mempertahankan tanah air mereka dengan penuh ketegasan,” katanya.
Susulan insiden itu, Pakistan menutup semua lintasan utama di sepanjang sempadan sejauh 2,600 kilometer, termasuk Torkham, Chaman, Kharlachi, Angoor Adda dan Ghulam Khan, yang merupakan laluan penting perdagangan dan pergerakan antara kedua-dua negara.
Serangan udara Pakistan berlaku serentak dengan lawatan luar biasa Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, ke India, yang berakhir dengan pengumuman rasmi bahawa India akan menaik taraf hubungan diplomatik dengan kerajaan Taliban, perkembangan yang menurut penganalisis, meningkatkan kebimbangan strategik di Islamabad. -The Merdeka Times