Connect with us

Antarabangsa

Aktivis Palestin terkemuka Saleh al-Jafarawi maut ditembak militia bersenjata

Published

on

Foto: Aktivis Palestin terkenal, Saleh al-Jafarawi

 

  • Al-Jafarawi ditembak mati oleh kumpulan militia bersenjata di kawasan kejiranan Sabra, Gaza City, ketika beliau sedang melaporkan pertempuran antara satu entiti yang disokong Israel dan pejuang Hamas.
  • Sumber Al Jazeera turut melaporkan bahawa beberapa pelarian Palestin turut terbunuh dalam insiden itu, selepas kumpulan bersenjata berkenaan dipercayai cuba mengambil kesempatan terhadap kekosongan keselamatan di bandar itu susulan pengumuman bersejarah pada Jumaat bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju untuk menamatkan perang serta menukar tahanan.

 

GAZA – Aktivis Palestin terkenal, Saleh al-Jafarawi, yang dikenali kerana ketabahannya mendokumentasikan kekejaman perang genosid Israel di Gaza, dilaporkan terkorban pada Ahad malam ketika membuat liputan mengenai pertempuran bersenjata di bandar Gaza, lapor Al Jazeera.

Menurut stesen penyiar berpangkalan di Doha itu, al-Jafarawi ditembak mati oleh kumpulan militia bersenjata di kawasan kejiranan Sabra, Gaza City, ketika beliau sedang melaporkan pertempuran antara satu entiti yang disokong Israel dan pejuang Hamas.

Sumber Al Jazeera turut melaporkan bahawa beberapa pelarian Palestin turut terbunuh dalam insiden itu, selepas kumpulan bersenjata berkenaan dipercayai cuba mengambil kesempatan terhadap kekosongan keselamatan di bandar itu susulan pengumuman bersejarah pada Jumaat bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju untuk menamatkan perang serta menukar tahanan.

“Setiap hari di Gaza adalah kehilangan baharu, perpisahan baharu, kesedihan baharu walaupun tentera Israel sudah menghentikan perang ini, sisa-sisa tenteranya dan pengkhianatan sesetengah pihak masih membawa malapetaka,” kata Mohamed Shahen, seorang wartawan berpangkalan di Gaza, sambil berkongsi video menunjukkan jasad al-Jafarawi yang tidak bernyawa.

“Semoga Allah merahmati wira Saleh al-Jafarawi, seorang perintis dalam menyampaikan penderitaan rakyat dan membela golongan tertindas,” tambah beliau.

Al-Jafarawi menjadi antara suara rakyat Gaza paling berpengaruh di media sosial sejak bermulanya perang, apabila beliau menggunakan platformnya untuk menyiarkan rakaman langsung kemusnahan dan penderitaan rakyat Palestin akibat serangan Israel.

Sepanjang genosid yang berlarutan lebih dua tahun itu, lebih 238,000 rakyat Palestin telah terbunuh atau cedera akibat serangan Israel, manakala sebahagian besar infrastruktur Gaza termasuk rumah, sekolah, universiti, masjid, gereja, tempat awam dan pusat kesihatan musnah sama sekali.

Laporan terkini yang berpaksikan data risikan tentera Israel mendedahkan bahawa lebih 80 peratus mangsa yang terbunuh sehingga Mei tahun ini adalah orang awam.

Kematian al-Jafarawi menambah satu lagi kehilangan besar buat komuniti media dan kemanusiaan di Gaza, suara yang selama ini menjadi saksi dan penyampai penderitaan rakyatnya kepada dunia.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author