Connect with us

Antarabangsa

AS belanja hampir AS$34 bilion sokong perang Israel

Published

on

Foto: Presiden AS, Donald Trump (kiri) dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu (kanan).
  • Jumlah berkenaan bermakna AS telah membelanjakan kira-kira AS$3,400 bagi setiap warga Israel untuk tujuan pertahanan dan ketenteraan sejak negara itu melancarkan serangan kejam ke atas Gaza susulan insiden 7 Oktober 2023.
  • Laporan tersebut mengambil kira perbelanjaan ketenteraan AS terhadap Israel dan kempen ketenteraan berkaitan AS di rantau itu sebagai sebahagian projek Costs of War yang sedang dijalankan oleh Universiti Brown.
  • “Puluhan ribu bom dan peluru berpandu buatan AS, serta sistem sasaran canggih telah mengakibatkan kemusnahan kemanusiaan yang dahsyat terhadap rakyat Gaza,” kata laporan Universiti Brown.

 

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) telah membelanjakan hampir AS$34 bilion untuk menyokong Israel sejak 7 Oktober 2023, menurut satu laporan yang diterbitkan oleh Universiti Brown, yang mendedahkan beban kewangan besar perang Israel di rantau itu kepada pembayar cukai AS.

Jumlah berkenaan bermakna AS telah membelanjakan kira-kira AS$3,400 bagi setiap warga Israel untuk tujuan pertahanan dan ketenteraan sejak negara itu melancarkan serangan kejam ke atas Gaza susulan insiden 7 Oktober 2023.

Kos yang tinggi ini menarik perhatian ramai pengulas di media sosial.

Seorang menulis: “Sebuah keluarga 4 orang di Israel menerima subsidi AS$577 sebulan, hasil sumbangan pembayar cukai Amerika, selama dua tahun berturut-turut.”

“Orang Israel masih menikmati penjagaan kesihatan percuma, pendidikan tinggi percuma, dan penjagaan kanak-kanak bersubsidi. Mereka tidak potong sebarang program kebajikan sosial. Sementara itu, rakyat Amerika terpaksa guna kad kredit untuk beli barang runcit,” tambah satu hantaran di platform X yang dilaporkan Middle East Eye.

Laporan tersebut mengambil kira perbelanjaan ketenteraan AS terhadap Israel dan kempen ketenteraan berkaitan AS di rantau itu sebagai sebahagian daripada projek Costs of War yang sedang dijalankan oleh Universiti Brown.

Menggabungkan semua pakej bantuan sejak 7 Oktober 2023, laporan itu menyatakan AS telah memberi AS$21.7 bilion dalam bentuk bantuan ketenteraan langsung kepada Israel.

Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Israel telah melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza yang telah diiktiraf sebagai satu bentuk pembunuhan beramai-ramai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pakar hak asasi manusia, sejarawan, dan pemimpin dunia.

Selain itu, Israel juga memperhebatkan serangan ke atas Tebing Barat yang diduduki.

Israel turut melancarkan perang terhadap Lubnan untuk melemahkan Hezbollah, mengebom puak Houthi di Yaman, dan terus-menerus mengebom Syria. 

Serangan mengejut Israel ke atas Iran pada Jun merupakan kemuncak kepada siri operasi ketenteraannya di luar negara, termasuk serangan belum pernah terjadi terhadap pegawai Hamas di Qatar.

Laporan itu mencapai angka AS$33 bilion dengan mengambil kira campur tangan ketenteraan AS bersama Israel di Yaman, serta serangan ke atas kemudahan nuklear Iran. 

Universiti Brown menganggarkan AS telah membelanjakan sekitar AS$12 bilion untuk operasi ketenteraan tersebut.

“Perbelanjaan ini termasuk kos AS menyelenggara dua kumpulan kapal pengangkut pesawat di Laut Merah dan Teluk Aden, melancarkan lebih 1,000 serangan udara, dan menggunakan sistem peluru berpandu berteknologi tinggi untuk menangkis serangan dron kos rendah oleh kumpulan bersenjata Houthi,” kata laporan itu.

“Di Iran, Operasi Midnight Hammer menandakan penggunaan pertama bom ‘bunker buster’ seberat 30,000 paun oleh pengebom senyap B-2 AS dalam pertempuran,” tambah laporan itu.

Pada hakikatnya, hampir keseluruhan armada pesawat perang Israel – dari F-35 hingga F-15 – berasal dari AS, termasuk helikopter serang dan pesawat pengisian minyak udara. 

AS juga telah membekalkan Israel dengan ribuan peluru meriam, bom seberat 2,000 paun, dan peluru berpandu berpanduan tepat.

“Puluhan ribu bom dan peluru berpandu buatan AS, serta sistem sasaran canggih telah mengakibatkan kemusnahan kemanusiaan yang dahsyat terhadap rakyat Gaza,” kata laporan Universiti Brown.

Sokongan rakyat AS terhadap Israel telah merosot dengan ketara, khususnya dalam kalangan Demokrat dan golongan Bebas, malah dalam kalangan Republikan muda yang semakin marah kerana pembayar cukai AS membiayai perang di luar negara.

Tinjauan Universiti Quinnipiac pada Ogos lalu mendapati bahawa 60 peratus rakyat Amerika menentang penghantaran senjata oleh AS kepada Israel. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author