Terkini
Pelan gencatan senjata: Tiada siapa dipaksa tinggalkan Gaza – Trump
- “Tiada siapa akan dipaksa keluar. Malah sebaliknya… Tidak, kami tidak bercadang untuk melakukan itu sama sekali,” kata Presiden AS, Donald Trump.
- “Saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang hebat. Saya rasa tebusan akan dibebaskan pada Isnin atau Selasa. Saya mungkin akan berada di sana,” katanya.
- Apabila ditanya mengenai rancangan untuk menempatkan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza, Trump berkata perbincangan masih berjalan.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata tiada sesiapa akan dipaksa meninggalkan Gaza di bawah pelan gencatan senjata yang dicadangkannya, sambil menambah bahawa perjanjian itu kini “telah dimuktamadkan sepenuhnya.”
“Tiada siapa akan dipaksa keluar. Malah sebaliknya… Tidak, kami tidak bercadang untuk melakukan itu sama sekali,” kata Trump apabila ditanya oleh seorang wartawan sama ada rakyat Palestin akan dipaksa meninggalkan Gaza di bawah pelan gencatan senjata yang dicadangkan Amerika Syarikat.
Trump berkata pelan gencatan senjata Gaza itu “telah dimuktamadkan dan siap sepenuhnya” serta mendedahkan bahawa beliau bercadang untuk melawat Timur Tengah hujung minggu ini.
“Saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang hebat. Saya rasa tebusan akan dibebaskan pada Isnin atau Selasa. Saya mungkin akan berada di sana.
“Saya harap dapat berada di sana. Kami merancang untuk berlepas pada Ahad, dan saya sangat menantikannya,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih, yang dipetik Anadolou Ajansi.
Apabila ditanya mengenai rancangan untuk menempatkan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza, Trump berkata perbincangan masih berjalan.
“Itu masih belum ditentukan sepenuhnya. Saya fikir akan ada sekumpulan besar pihak yang menentukan bagaimana ia akan dilaksanakan, dan sekumpulan negara kaya yang akan membiayainya.
“Orang ramai mahu melihat perkara ini berjaya. Ia akan berjaya. Ia pasti berjaya. Dan ia sudah pun bermula,” katanya.
Trump pada Rabu mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata yang dicadangkannya untuk Gaza.
Pada 29 September lalu, beliau memperkenalkan pelan gencatan senjata 20 perkara untuk Gaza yang merangkumi pembebasan semua tahanan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin, gencatan senjata kekal, serta pengunduran berperingkat pasukan Israel dari seluruh wilayah itu.
Fasa kedua pelan tersebut menyeru kepada pembentukan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penubuhan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin serta tentera negara Arab dan Islam, serta perlucutan senjata Hamas.
Ia juga memperuntukkan dana daripada negara Arab dan Islam untuk pentadbiran baharu dan pembinaan semula Gaza, dengan penglibatan terhad daripada Pihak Berkuasa Palestin.
Negara-negara Arab dan Islam menyambut baik pelan tersebut, namun beberapa pegawai berkata banyak perinciannya masih memerlukan perbincangan dan rundingan lanjut sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya. – The Merdeka Times