Connect with us

Antarabangsa

Wanita Islam dakwa doktor di India tolak rawatan kerana agama

Published

on

Foto: Shama Parveen dari kampung Biribari

 

  • Menurut Ketua Pengarah Perubatan, Mahendra Gupta, wanita berkenaan, Shama Parveen dari kampung Biribari, dibawa ke hospital tersebut sekitar jam 9.30 malam pada 30 September untuk bersalin.
  • Pada 1 Oktober, tular di media sosial satu video memaparkan Shama mendakwa doktor berkenaan enggan merawat wanita muslim.
  • “Saya tidak akan rawat wanita Muslim. Saya tidak akan lakukan pembedahan kamu” kata doktor tersebut selain mengarahkan jururawat supaya tidak membawa Shama ke bilik bedah dan meminta keluarganya mencari rawatan di tempat lain.

 

JAUNPUR – Satu insiden di Hospital Daerah Wanita Jaunpur, Uttar Pradesh mencetuskan kontroversi apabila seorang wanita Muslim mendakwa dirinya ditolak untuk menerima rawatan bersalin oleh seorang doktor kerana faktor agama.

Menurut Ketua Pengarah Perubatan (CMS), Dr. Mahendra Gupta, wanita berkenaan, Shama Parveen dari kampung Biribari, dibawa ke hospital tersebut sekitar jam 9.30 malam pada 30 September untuk bersalin.

Katanya, doktor wanita yang bertugas malam itu telah memeriksanya terlebih dahulu.

Namun, pada 1 Oktober, tular di media sosial satu video memaparkan Shama mendakwa doktor berkenaan enggan merawat wanita muslim.

“Saya tidak akan rawat wanita Muslim. Saya tidak akan lakukan pembedahan kamu” kata doktor tersebut selain mengarahkan jururawat supaya tidak membawa Shama ke bilik bedah dan meminta keluarganya mencari rawatan di tempat lain.

Dr. Mahendra berkata beliau terkejut dengan dakwaan tersebut dan segera meminta penjelasan daripada doktor terbabit.

“Doktor berkenaan menafikan sekeras-kerasnya pernah mengeluarkan kenyataan berbaur agama. Siasatan dalaman telah dijalankan dan laporan telah dihantar kepada pihak berkuasa lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, polis telah membuka laporan polis terhadap dua wartawan tempatan, Mayank Srivastava dan Mohammad Usman, yang didakwa menyebarkan video tersebut di media sosial.

Aduan difailkan oleh CMS sendiri di Balai Polis Kotwali, dengan mendakwa kedua-dua wartawan itu memasuki bilik bersalin tanpa kebenaran, merakam video, serta merosakkan peralatan hospital.

Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi politik di negeri tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (MLA) Ragini Sonkar daripada Parti Samajwadi menyifatkan kejadian itu sebagai memalukan.

“Tiada wanita yang sedang menanggung kesakitan bersalin akan berbohong tentang dinafikan rawatan. Kes ini menunjukkan ketegangan agama semakin menular di negeri ini,” katanya.

Beliau turut mengkritik tindakan pihak berkuasa yang membuka kes terhadap wartawan tetapi bukan terhadap doktor terlibat, sambil menegaskan akan membawa isu ini ke Dewan Undangan Negeri sekiranya perlu.

Sementara itu, pemimpin Kongres, Vikesh Upadhyay Vikki, turut mengecam perbuatan tersebut:

“Sangat memalukan apabila seorang doktor yang telah mengangkat sumpah untuk berkhidmat kepada semua menolak rawatan atas dasar agama. Dalam situasi sebegini, pesakit tidak mempunyai kasta atau agama, tindakan tegas wajar diambil.”

Bagaimanapun, jurucakap BJP, Avnish Tyagi, menolak dakwaan pembangkang sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik perpecahan. –The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author