Antarabangsa
Rakyat Palestin tolak Pelan Trump: “Bukan damai, Ini pelan serah diri”
- “Mereka mahu paksa keamanan ikut cara mereka. Ini bukan pelan damai, ini pelan menyerah diri. Ia mengembalikan kita ke zaman kolonialisme,” kata Umm Mohammed, seorang guru sejarah di Gaza
- “Pelan ini menunjukkan seolah-olah kami rakyat Palestin dan Arab tidak layak memerintah diri sendiri, dan orang kulit putih akan terus memerintah kami,” – Mahmoud Abu Baker, penduduk Rafah
- “Semua ini jadi bahan jenaka. Mereka bertindak seolah-olah memiliki seluruh dunia, membahagi-bahagikan sesuka hati,” kata Mohammad Shahin, penduduk Nablus.
GAZA – Rancangan damai Gaza yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terus menerima tentangan hebat daripada kumpulan pejuang Palestin dan rakyat di wilayah bergolak itu.
Abu Ali Hassan, ahli kanan Popular Front for the Liberation of Palestine (PFLP), berkata kepada agensi berita Sand bahawa “pelan Trump adalah resipi untuk menguruskan perang dan memanjangkannya, bukan menamatkannya.”.
Meskipun PFLP kumpulan lebih kecil di Gaza, kini dilaporkan bekerjasama dengan Hamas sepanjang peperangan.
Hassan menambah bahawa rancangan itu adalah cubaan terdesak untuk memisahkan Gaza daripada wilayah Palestin yang lain.
Sementara itu, kumpulan Jihad Islami Palestin (PIJ) yang masih menahan sekurang-kurangnya seorang tebusan di Gaza, menyifatkan pelan tersebut hanya akan mencetuskan lebih banyak pencerobohan terhadap rakyat Palestin.
Ramai penduduk Palestin yang kini kehilangan tempat tinggal di Gaza turut melahirkan kebimbangan.
Antara yang paling dipersoalkan adalah ketiadaan hala tuju jelas terhadap penubuhan negara Palestin, sesuatu yang ditentang keras kerajaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Pelan itu juga memperkenalkan “Lembaga Keamanan” diketuai Trump dan bekas Perdana Menteri UK Tony Blair untuk mengawasi pentadbiran Gaza.
Bagi sesetengah pihak, pendekatan itu mengingatkan mereka kepada era Mandat British ke atas Palestin antara tahun 1920 hingga 1948.
“Mereka mahu paksa keamanan ikut cara mereka. Ini bukan pelan damai, ini pelan menyerah diri. Ia mengembalikan kita ke zaman kolonialisme,” kata Umm Mohammed, seorang guru sejarah yang kini berlindung bersama keluarganya di Gaza City, kepada Associated Press.
Seorang lagi penduduk yang dipindahkan dari Rafah, Mahmoud Abu Baker, berkata cadangan itu jelas memihak kepada Israel dan hanya melaksanakan tuntutan Tel Aviv tanpa sebarang konsesi.
“Pelan ini menunjukkan seolah-olah kami rakyat Palestin dan Arab tidak layak memerintah diri sendiri, dan orang kulit putih akan terus memerintah kami,” katanya.
Di Tebing Barat, rakyat Palestin turut meluahkan rasa tidak puas hati, menuduh Trump dan Netanyahu cuba menyelesaikan isu Gaza tanpa sebarang suara daripada penduduk di lapangan.
“Semua ini jadi bahan jenaka. Mereka bertindak seolah-olah memiliki seluruh dunia, membahagi-bahagikan sesuka hati,” kata Mohammad Shahin, seorang penduduk Nablus.-The Merdeka Times