Connect with us

Antarabangsa

Trump ugut Hamas: ‘3-4 hari untuk setuju rancangan Gaza atau terima padah’

Published

on

Foto: Presiden AS, Donald Trump
  • Trump berkata rancangan itu telah pun mendapat persetujuan pemimpin Israel dan negara-negara Arab, dan kini hanya menunggu jawapan Hamas.
  • “Satu tandatangan yang kita perlukan, dan jika mereka enggan, mereka akan membayar dengan neraka,” katanya ketika bercakap kepada media di White House.
  • Pelan tersebut turut mencadangkan penubuhan kerajaan peralihan teknokrat Palestin yang dipantau sebuah badan penasihat antarabangsa diketuai Trump bersama bekas Perdana Menteri UK, Tony Blair.

 

WASHINGTON– Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran bahawa Hamas hanya mempunyai “tiga atau empat hari” untuk menerima pelan damai Gaza yang diumumkannya, atau akan “membayar ia dengan neraka.”

Trump berkata rancangan itu telah pun mendapat persetujuan pemimpin Israel dan negara-negara Arab, dan kini hanya menunggu jawapan Hamas.

“Satu tandatangan yang kita perlukan, dan jika mereka enggan, mereka akan membayar dengan neraka,” katanya ketika bercakap kepada media di White House.

20 pelan “damai” yang diumumkan Isnin lalu bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu itu mensyaratkan pembebasan 48 tebusan (sekitar 20 dipercayai masih hidup) dalam tempoh 72 jam, Gaza dinyahpersenjataan serta diserahkan kepada kerajaan peralihan teknokratik.

Anggota Hamas yang menyerah diri akan diberi pengampunan.

Sebagai pertukaran, Israel akan membebaskan 250 banduan hukuman seumur hidup, 1,700 tahanan Gaza termasuk semua wanita dan kanak-kanak, serta menyerahkan 15 jenazah rakyat Gaza bagi setiap jenazah tebusan Israel yang dikembalikan.

Selepas itu, bantuan kemanusiaan akan mula disalurkan dan proses pembangunan semula Gaza dimulakan.

Pelan tersebut turut mencadangkan penubuhan kerajaan peralihan teknokrat Palestin yang dipantau sebuah badan penasihat antarabangsa diketuai Trump bersama bekas Perdana Menteri UK, Tony Blair.

Sebuah pasukan keselamatan antarabangsa sementara (ISF) juga akan ditempatkan, sebelum mengambil alih sepenuhnya daripada tentera Israel.

Pada masa sama, Pihak Berkuasa Palestin diminta melakukan reformasi menyeluruh sebelum wujud “laluan kredibel” ke arah penentuan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin.

Bagaimanapun, tiada garis masa ditetapkan bagi proses itu.

Netanyahu mengesahkan penerimaan terhadap pelan tersebut meskipun dikecam pihak kanan Israel, dengan menegaskan beliau tidak akan membenarkan penubuhan negara Palestin atau penarikan sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.

Sumber diplomatik menyatakan Hamas dijangka memberi jawapan kepada perantara di tengah-tengah tekanan kuat daripada negara Arab termasuk Arab Saudi, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Pakistan, Turkiye, Qatar dan Mesir yang menyokong inisiatif itu.

Turkiye menghantar Ketua Perisikan Ibrahim Kalin ke Doha untuk mengadakan rundingan dengan Hamas, manakala Qatar turut mengumumkan perbincangan bersama Hamas dan Turkiye.

Perdana Menteri Qatar Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menyatakan penarikan tentera Israel dari Gaza perlu diperjelas, namun penamatan perang adalah elemen utama dalam pelan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru semua pihak segera berkomitmen terhadap pelaksanaan rancangan itu, sambil mengulangi gesaannya agar gencatan senjata kekal dilaksanakan segera.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author