Antarabangsa
Pelan damai Trump: Gaza akan ditadbir Jawatankuasa Peralihan Antarabangsa, Trump jadi pengerusi
- Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab mengurus hal ehwal harian rakyat, termasuk perkhidmatan awam dan pentadbiran majlis perbandaran Gaza
- Badan itu akan dipengerusikan sendiri oleh Trump bersama beberapa pemimpin dunia lain yang akan diumumkan kemudian, termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
WASHINGTON – Salah satu perkara utama dalam 20 Pelan Damai Gaza yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, menekankan penubuhan sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin yang bersifat apolitik atau bersifat neutral daripada pengaruh politik untuk mentadbir sementara Gaza.
Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab mengurus hal ehwal harian rakyat, termasuk perkhidmatan awam dan pentadbiran majlis perbandaran.
Menurut dokumen pelan tersebut, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pakar Palestin dan antarabangsa dengan pengawasan oleh sebuah badan peralihan antarabangsa baharu yang dinamakan “Board of Peace”.
Badan itu akan dipengerusikan sendiri oleh Trump bersama beberapa pemimpin dunia lain yang akan diumumkan kemudian, termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Board of Peace ini berperanan menetapkan kerangka serta menguruskan dana bagi pembinaan semula Gaza sehingga Pihak Berkuasa Palestin (PA) melengkapkan program reformasinya.
Selepas itu, PA dijangka mengambil kembali kawalan penuh ke atas Gaza dengan lebih selamat dan berkesan, seperti yang pernah digariskan dalam pelan damai Trump tahun 2020 dan cadangan bersama Arab Saudi-Perancis.
Badan peralihan antarabangsa itu juga berjanji akan menggunakan piawaian terbaik dunia untuk mewujudkan tadbir urus moden, telus dan efisien yang dapat memenuhi keperluan rakyat Gaza serta menarik pelaburan asing ke wilayah tersebut.
Pelan ini digambarkan sebagai usaha besar untuk bukan sahaja menamatkan peperangan, tetapi juga menyediakan asas pentadbiran baharu yang lebih stabil dan mampu memacu pembangunan semula Gaza.
Namun, pengumuman ini dijangka mengundang perdebatan dalam kalangan masyarakat antarabangsa dan negara Islam, khususnya berkaitan sejauh mana dominasi luar dalam urusan dalaman Palestin boleh diterima. -The Merdeka Times