Antarabangsa
Pelan damai Trump hanya meneruskan penjajahan terhadap Palestin – Penganalisis
- Penganalisis politik Palestin yang kini berada di Gaza, Mohamed Abo Oun, melahirkan rasa terkejut apabila terdapat pemimpin dunia, termasuk sebahagian pemimpin negara Islam, yang memuji pelan berkenaan.
- Menurutnya, cadangan itu sama sekali tidak membawa penyelesaian sebenar, sebaliknya mengulangi syarat-syarat yang selama ini dituntut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
- “Pelan ini hanya berselindung di sebalik istilah damai, sedangkan hakikatnya ia menghalalkan penindasan dan mengekang hak rakyat Palestin untuk menentang penjajahan,” ujarnya.
GAZA – Penganalisis politik Palestin yang kini berada di Gaza, Mohamed Abo Oun, menyifatkan 20 pelan damai yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, sebagai helah untuk mengekalkan penjajahan Israel ke atas Gaza.
Beliau melahirkan rasa terkejut apabila terdapat pemimpin dunia, termasuk sebahagian pemimpin negara Islam, yang memuji pelan berkenaan.
Menurutnya, cadangan itu sama sekali tidak membawa penyelesaian sebenar, sebaliknya mengulangi syarat-syarat yang selama ini dituntut Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
“Apa yang Netanyahu gagal dapatkan melalui perang, kini Trump cuba memberikannya melalui perjanjian ini,” katanya sewaktu dihubungi The Merdeka Times hari ini.
Mohamed menegaskan bahawa cadangan tersebut tidak menetapkan sebarang jadual jelas untuk pengunduran tentera Israel dari Gaza, tidak menjamin penamatan perang, dan tidak memperincikan bentuk pentadbiran Gaza selepas itu.
Sebaliknya, ia lebih menekankan usaha menekan rakyat Palestin dengan alasan mahu menamatkan penentangan bersenjata.
“Pelan ini hanya berselindung di sebalik istilah damai, sedangkan hakikatnya ia menghalalkan penindasan dan mengekang hak rakyat Palestin untuk menentang penjajahan,” ujarnya.
Beliau menambah, harapan rakyat Palestin adalah agar pemimpin-pemimpin dunia Islam menunjukkan solidariti yang lebih kukuh dengan perjuangan Palestin, menyokong hak sah mereka untuk mendapatkan kembali tanah, membebaskan tahanan, dan menentang pendudukan.
“Usaha sesetengah pemimpin Muslim untuk menyenangkan hati Trump dan menyokong idea-idea yang zalim ini amat mengecewakan. Sepatutnya mereka mengutamakan nilai keadilan dan kebebasan bagi rakyat yang tertindas,” tegasnya lagi.