Connect with us

Antarabangsa

GSPP desak Malaysia tegas tolak ‘Pelan Komprehensif Trump’, pertahan Palestin

Published

on

Foto: Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhammad Fauzi Asmuni.

 

  • Pengerusinya, Muhammad Fauzi Asmuni berkata pelan itu tidak boleh dibaca secara terpisah daripada rekod panjang tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang sekian lama menafikan hak rakyat Palestin.
  • Fauzi berkata, kenyataan Wisma Putra mengenai isu ini bersifat diplomatik maka kerajaan Malaysia diharap dapat menunjukkan sokongan yang lebih nyata kepada Palestin melalui langkah praktikal dan selari dengan dasar kerajaan terhadap Israel sebelum ini.
  • Selain itu, GSPP turut menolak cadangan agar Hamas melucutkan senjata atau pimpinan mereka diusir keluar dari Palestin.

KUALA LUMPUR — Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) menegaskan bahawa Malaysia perlu mengambil pendirian lebih tegas dalam menolak ‘Pelan Komprehensif’ yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump pada 29 September lalu.

Pengerusinya, Muhammad Fauzi Asmuni berkata pelan itu tidak boleh dibaca secara terpisah daripada rekod panjang tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang sekian lama menafikan hak rakyat Palestin.

Menurut beliau, sejarah menunjukkan beberapa pendirian konsisten AS dan Israel, antaranya enggan mengakui jenayah genosid terhadap penduduk Gaza, menuduh Hamas sebagai pengganas, menolak penyelesaian dua negara (Two-State Solution), serta menafikan sejarah pencabulan hak rakyat Palestin sejak Deklarasi Balfour 1917.

“AS dan Israel juga berulang kali menolak cadangan gencatan senjata,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Fauzi berkata, kenyataan Wisma Putra mengenai isu ini bersifat diplomatik maka kerajaan Malaysia diharap dapat menunjukkan sokongan yang lebih nyata kepada Palestin melalui langkah praktikal dan selari dengan dasar kerajaan terhadap Israel sebelum ini.

Beliau turut menjangkakan Malaysia akan berdepan tekanan lebih besar daripada AS berikutan pendiriannya menolak pelan berkenaan.

Sehubungan itu, GSPP menggariskan beberapa “garis merah” yang tidak boleh dikompromi oleh kerajaan, termasuk tidak menyenaraikan Hamas sebagai kumpulan pengganas, menolak pengiktirafan terhadap Israel sama ada secara de jure atau de facto, serta menolak pelan pengosongan Gaza dan pemindahan penduduk Palestin ke negara lain.

Selain itu, GSPP turut menolak cadangan agar Hamas melucutkan senjata atau pimpinan mereka diusir keluar dari Palestin.

“Masa depan Palestin mesti ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri, bukan melalui penyerahan kepada badan berkecuali antarabangsa,” tegasnya.

Muhammad Fauzi turut menyeru kerajaan Malaysia memperkukuh permuafakatan nasional bersama badan-badan masyarakat sivil yang aktif memperjuangkan Palestin.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author