Connect with us

Antarabangsa

Afghanistan lumpuh, Taliban putuskan internet & telefon seluruh negara

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

 

  • Pada 29 September lalu, kumpulan itu memutuskan akses gentian optik Internet di seluruh Afghanistan.
  • “Kami tidak mendapat sebarang amaran. Bukan hanya Internet, malah talian telefon bimbit juga hilang,” kata seorang guru wanita di Hairatan, utara Afghanistan, berhampiran sempadan Uzbekistan.
  • Taliban tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penutupan ini.
  • Namun, sebelum ini kumpulan itu menyekat akses Internet di beberapa wilayah dengan alasan mahu mengekang kemaksiatan termasuk pornografi dan hubungan tidak bermoral antara lelaki serta wanita dalam talian.

 

KABUL – Afghanistan kini terputus hampir sepenuhnya daripada dunia luar selepas Taliban mengenakan sekatan komunikasi dan Internet di seluruh negara, sekali gus menjejaskan kehidupan harian jutaan rakyatnya.

Pada 29 September lalu, kumpulan itu memutuskan akses gentian optik Internet di seluruh Afghanistan. Rangkaian telefon bimbit yang bergantung kepada sistem sama turut terhenti, menyebabkan rakyat tidak dapat berhubung.

Langkah itu mencetuskan kekacauan besar termasuk mengganggu jadual penerbangan, sistem perbankan, e-dagang, pekerjaan dalam talian serta pembelajaran jarak jauh. Keadaan ini dijangka memperburuk lagi krisis ekonomi negara yang sudah berdepan kadar kemiskinan tinggi, kebuluran meluas dan pengangguran serius.

Pemantau Internet antarabangsa NetBlocks mengesahkan Afghanistan berada dalam situasi “blackout total”.

“Kami tidak mendapat sebarang amaran. Bukan hanya Internet, malah talian telefon bimbit juga hilang,” kata seorang guru wanita di Hairatan, utara Afghanistan, berhampiran sempadan Uzbekistan.

Taliban tidak mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penutupan ini.

Namun, sebelum ini kumpulan itu menyekat akses Internet di beberapa wilayah dengan alasan mahu mengekang kemaksiatan termasuk pornografi dan hubungan tidak bermoral antara lelaki serta wanita dalam talian.

Pengkritik bagaimanapun menyifatkan langkah itu sebahagian daripada tindakan keras Taliban terhadap kebebasan individu dan aliran maklumat bebas.

Sekatan ini memberi kesan menyeluruh kepada rakyat biasa, perniagaan swasta serta pentadbiran kerajaan.

“Banyak masalah timbul. Orang ramai tidak boleh bekerja atau berhubung dengan keluarga,” kata seorang penduduk di Badakhshan.

Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) pada 30 September lalu menggesa Taliban segera memulihkan akses Internet dan telekomunikasi, dengan amaran ia berisiko menjejaskan kestabilan ekonomi dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

Penganalisis Afghanistan di Jerman, Ishaq Atmar, menegaskan penutupan komunikasi akan memberi kesan luas.

“Jika anda memutuskan Internet, itu bermakna anda memutuskan kehidupan,” katanya.

Sekatan ini amat menjejaskan golongan wanita Afghanistan yang sebelum ini sudah diharamkan bekerja dan belajar sejak 2022. Internet menjadi talian hayat mereka untuk bekerja dari rumah serta meneruskan pendidikan secara maya.

Media antarabangsa dan badan pemerhati menyelar tindakan Taliban sebagai cubaan menutup maklumat dan mengekang liputan dunia.

Haroon Basir, wartawan Afghanistan berpangkalan di Perancis, berkata beliau tidak dapat menghubungi keluarganya sejak 29 September.

“Ini satu penderitaan besar bagi saya, dan cabaran besar buat ribuan warga Afghanistan di luar negara yang kini terputus hubungan dengan keluarga mereka,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author