Antarabangsa
Kapal misi GSF dijangka tiba di zon merah esok – SNCC
- Setakat ini, semua kapal GSF disahkan telah memasuki zon kuning tahap dua pada 3 petang hari ini.
- Jarak terkini kapal-kapal berkenaan adalah 227 batu nautika dari pesisiran Gaza. Tiada laporan serangan atau aktiviti dron yang mencurigakan dilaporkan semalam.
SEPANG – Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki zon merah dalam tempoh 28 jam iaitu sekitar 7 petang esok, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata setakat ini, semua kapal GSF disahkan telah memasuki zon kuning tahap dua pada 3 petang hari ini.
“Jarak terkini kapal-kapal berkenaan adalah 227 batu nautika dari pesisiran Gaza. Tiada laporan serangan atau aktiviti dron yang mencurigakan dilaporkan semalam.
“Kelajuan (kapal) dan cuaca sangat baik. Kelajuan kapal paling hadapan adalah 4.9 knot dan mereka berada dalam jangkaan yang baik,” katanya dalam sidang media harian di SNCC MAPIM di sini hari ini.
Susulan perkembangan terbaharu itu, Sany Araby berkata SNCC akan mengaktifkan siaran langsung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kapal terpilih sebagai langkah keselamatan. – BERNAMA