Antarabangsa
(VIDEO) Flotila Gaza: ‘Sumud’ satukan 45 negara, Tekad belayar hingga ke bumi Palestin – ZRA
GREECE – “Apa pun jadi, kami tidak akan mengalah. Kami akan terus belayar sehingga sampai ke Gaza.”
Itulah tekad disuarakan aktivis Malaysia, Zainal Rashid Ahmad, yang kini menyertai Gaza Sumud Flotilla, konvoi maritim kemanusiaan terbesar sejak genosid Israel bermula pada 2023.
Dalam temu bual telefon bersama The Merdeka Times, Zainal menceritakan bahawa kejayaan flotila ini bukan hanya diukur daripada kekuatan kapal atau kru, tetapi daripada semangat luar biasa yang dikongsi lebih 300 aktivis antarabangsa.
“Lebih 80 peratus daripada pelayar bukan Muslim, tetapi mereka datang dengan keberanian luar biasa. Ada doktor, peguam, ahli politik, malah ada yang datang tanpa pengetahuan majikan atau keluarga kerana risiko kerjaya dan keselamatan mereka. Semuanya berkongsi semangat sama: sumud iaitu tidak menyerah kalah,” katanya.

Foto: Hantaran Facebook ZRA Strim.
Flotila yang kini berada di perairan Greece mempunyai baki 450 batu nautika sebelum tiba di Gaza. Ia membawa aktivis dari 45 negara, termasuk delegasi terbesar dari Itali dan Switzerland, selain peserta dari Malaysia.
Menurut Zainal, keunikan flotila ini ialah penyatuan aktivis yang selama ini bergerak secara berasingan di darat.
“Selepas dua tahun berdemonstrasi di jalanan, kini mereka bersatu di laut. Gaza menjadi titik temu, menyatukan mereka yang berbeza bangsa, agama dan latar belakang,” jelas beliau.
Beliau turut berkongsi pengalaman kru kapal yang saling membantu mengatasi masalah teknikal. Ada kapal yang mengalami kerosakan layar dan sistem pendawaian, tetapi kru dari kapal lain segera datang membantu tanpa gaji, tanpa kepentingan, hanya kerana semangat solidariti.
“Mereka ini bukan kenalan lama, kebanyakannya baru berjumpa dalam misi ini. Ada dari Rome, Venice, Genoa, Perancis, Switzerland. Tapi mereka sanggup banting tulang untuk pastikan pelayaran diteruskan. Inilah roh perjuangan sebenar,” jelasnya.
Zainal menegaskan ramai aktivis enggan wajah mereka didedahkan kepada media kerana risiko besar yang mereka hadapi.

Foto: Hantaran Facebook ZRA Strim.
“Ada yang mungkin digantung lesen pelayaran, dibuang kerja, malah ada yang datang tanpa pengetahuan keluarga. Tetapi mereka tetap memilih untuk berada di sini kerana yakin dengan perjuangan Gaza,” katanya.
Mengulas tentang nilai sumud, Zainal berkata ia adalah istilah Arab yang bermaksud keteguhan dan tidak menyerah kalah.
“Itulah rahsia kejayaan flotila ini. Apa pun jadi halangan, kerosakan kapal, atau ugutan Israel, kami tetap akan bersama Gaza,” tegas beliau.
Jelasnya, flotila ini adalah “duta laut” selepas gelombang solidariti darat yang berlangsung sejak 2023.
“Ini adalah kuasa Baharu, kuasa lautan yang membawa mesej kemanusiaan ke tengah-tengah Gaza.
“Dihalang atau dibenarkan, itu urusan Allah. Kami sudah serahkan segalanya pada-Nya. Tugas kami ialah terus belayar sehingga misi sampai ke bumi Gaza,” katanya menutup perbualan. -The Merdeka Times