Antarabangsa
Britain enggan beri perlindungan diplomatik kepada warganya di Flotila Gaza
- Mathilda Mallinson, wartawan Middle East Eye yang berada di atas salah sebuah kapal flotila, berkata Pejabat Luar Negeri Britain memaklumkan kepada ibunya bahawa mereka “tidak mampu menawarkan” perlindungan diplomatik.
- Perlindungan diplomatik bermaksud tindakan undang-undang antarabangsa yang boleh diambil sesebuah negara terhadap negara lain jika warganya dicederakan atau hartanya rosak akibat pelanggaran undang-undang antarabangsa.
LONDON – Kerajaan Britain mengumumkan bahawa ia tidak dapat memberikan perlindungan diplomatik kepada warganya yang menyertai Flotila Global Sumud ke Gaza, walaupun Sepanyol dan Itali menghantar kapal perang bagi mengiringi konvoi itu selepas diserang Israel pada Rabu lalu.
Mathilda Mallinson, wartawan Middle East Eye yang berada di atas salah sebuah kapal flotila, berkata Pejabat Luar Negeri Britain memaklumkan kepada ibunya bahawa mereka “tidak mampu menawarkan” perlindungan diplomatik.
Perlindungan diplomatik bermaksud tindakan undang-undang antarabangsa yang boleh diambil sesebuah negara terhadap negara lain jika warganya dicederakan atau hartanya rosak akibat pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Salah sebuah kapal yang didakwa dibom Israel di Tunisia, iaitu Alma, merupakan kapal milik Britain dan berdaftar dengan bendera negara itu. Sekurang-kurangnya 13 rakyat Britain berada dalam flotila tersebut.
Sebaliknya, Sepanyol dan Itali mengambil langkah lebih tegas.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, mengumumkan negaranya akan menghantar kapal tentera laut dari Cartagena lengkap dengan aset penyelamat, manakala Menteri Pertahanan Itali, Guido Crosetto, berkata sebuah kapal frigat telah dikerahkan pada Rabu dan sebuah lagi sedang dalam perjalanan ke Laut Mediterranean.
Namun begitu, Britain dilaporkan tidak bercadang menghantar kapal perang bagi mengiringi flotila Gaza, sebaliknya hanya menawarkan bantuan konsular kepada rakyatnya jika diperlukan.
Pejabat Luar Negeri Britain juga masih belum memberikan kenyataan rasmi berhubung perkara ini.
Pada Selasa malam, aktivis melaporkan terdengar letupan serta menyaksikan dron yang mensasarkan beberapa kapal flotila berhampiran perairan Greece.
“Pelbagai dron, objek tidak dikenali dijatuhkan, komunikasi terganggu, dan beberapa letupan kedengaran dari beberapa kapal,” menurut kenyataan Flotila Global Sumud.
Flotila ini membawa lebih 300 aktivis dari 44 negara, termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, menjadikannya konvoi maritim bantuan awam terbesar ke Gaza sejak Israel memulakan genosid terhadap rakyat Palestin pada Oktober 2023.
Pada 8 dan 9 September lalu, flotila yang berlabuh di Tunisia turut diserang dengan projektil dipercayai dilancarkan dron. Kerajaan Tunisia menyifatkan serangan itu sebagai “dirancang”, namun Israel tidak mengaku bertanggungjawab.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Israel meningkatkan ancaman terhadap flotila berkenaan dengan menuduh penganjur menyokong Hamas serta kononnya berhasrat melakukan tindakan ganas, satu dakwaan yang sehingga kini tidak disertakan bukti.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggesa siasatan segera terhadap laporan serangan terhadap flotila berkenaan.-The Merdeka Times