Antarabangsa
PA ‘sanggup’ tadbir Gaza, pelan Trump boleh buka laluan damai – Mahmoud Abbas
- Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut menyelar sokongan tanpa syarat Washington terhadap serangan Israel, namun tidak mengkritik secara langsung pentadbiran Trump.
- Sebaliknya, Abbas menyatakan kesediaan PA untuk mentadbir Gaza dan bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam pelan damai baharu itu.
NEW YORK – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengecam genosid Israel di Semenanjung Gaza sambil menyatakan kesediaan Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk melaksanakan pelan baharu yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi wilayah terkepung itu.
Abbas yang berucap secara maya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis berkata, rakyat Palestin telah menderita hampir dua tahun akibat perang pemusnahan, kelaparan dan pengusiran paksa.
“Kami berdepan perang genosid, kehancuran, kelaparan dan pengusiran. Apa yang dilakukan Israel bukan sekadar pencerobohan, tetapi jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang akan direkodkan dalam sejarah sebagai antara tragedi paling mengerikan,” tegas Abbas.
Beliau turut menyelar sokongan tanpa syarat Washington terhadap serangan Israel, namun tidak mengkritik secara langsung pentadbiran Trump.
Sebaliknya, Abbas menyatakan kesediaan PA untuk mentadbir Gaza dan bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam pelan damai baharu itu.
Dalam ucapannya, Abbas mengimbas kembali Proses Oslo pada 1990-an, apabila Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengiktiraf Israel dan meninggalkan perjuangan bersenjata, dengan imbalannya PA ditubuhkan untuk mentadbir sebahagian Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Namun, katanya, Israel terus memperluaskan penempatan haram dan mengancam untuk melaksanakan pengilhakan besar-besaran di Tebing Barat, sambil menyokong keganasan oleh kumpulan pelampau peneroka Yahudi terhadap rakyat Palestin.
“Terorisme peneroka semakin meningkat. Kerajaan Israel yang ekstremis meneruskan dasar peluasan penempatan secara haram,” ujar Abbas.
Beliau juga memberi amaran terhadap rancangan penempatan Israel dikenali sebagai pelan E1, yang bakal memisahkan Tebing Barat kepada dua bahagian dan memutuskan hubungan Baitulmaqdis Timur dengan wilayah Palestin lain.
Abbas menegaskan rancangan itu jelas bertujuan menggagalkan penyelesaian dua negara dan melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat berdepan penentangan hebat daripada rakyat Palestin sendiri yang melihatnya sebagai institusi korup dan tunduk kepada pendudukan Israel.-The Merdeka Times