Antarabangsa
Janji Trump kepada pemimpin Islam: AS tidak benar Israel aneksasi Tebing Barat
- Trump difahamkan turut membentangkan satu kertas putih mengenai penyelesaian perang Israel di Gaza, yang merangkumi janji penolakan aneksasi serta cadangan pelan pasca-perang berkaitan tadbir urus dan keselamatan.
- Janji itu mengejutkan banyak pihak kerana sebahagian besar Tebing Barat sudah pun berdepan aneksasi secara de facto, manakala pegawai AS sebelum ini dilihat membiarkan perkara tersebut tanpa bantahan serius.
NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan memberi jaminan kepada pemimpin negara Islam bahawa beliau tidak akan membenarkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, melakukan aneksasi terhadap Tebing Barat yang diduduki.
Aneksasi Adalah penggabungan paksa wilayah atau kawasan ke dalam sesebuah negara tanpa kerelaan atau persetujuan sah pihak yang ditakluki.
Menurut laporan portal Politico, enam sumber yang mengetahui perbincangan itu mengesahkan perkara berkenaan, dengan dua daripadanya menegaskan Trump tegas menolak sebarang usaha Israel untuk menyerap wilayah tersebut.
Trump difahamkan turut membentangkan satu kertas putih mengenai penyelesaian perang Israel di Gaza, yang merangkumi janji penolakan aneksasi serta cadangan pelan pasca-perang berkaitan tadbir urus dan keselamatan.
Janji itu mengejutkan banyak pihak kerana sebahagian besar Tebing Barat sudah pun berdepan aneksasi secara de facto, manakala pegawai AS sebelum ini dilihat membiarkan perkara tersebut tanpa bantahan serius.
Seorang pegawai AS dan seorang pegawai Barat memberitahu Middle East Eye bahawa Israel mungkin mengumumkan aneksasi rasmi terhadap Lembah Jordan sebagai tindak balas terhadap langkah beberapa negara di PBB yang mengiktiraf Palestin.
Namun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dilaporkan masih berbincang dengan Netanyahu mengenai kawasan-kawasan tertentu yang mungkin menjadi sasaran aneksasi, tanpa memperincikan pendirian rasmi Washington.
Duta AS ke Israel, Mike Huckabee, pula sejak sekian lama lantang menyokong aneksasi Israel ke atas Tebing Barat, malah pada 2017 beliau menyifatkan wilayah itu bukan “penempatan” tetapi “komuniti dan bandar” yang sah milik Israel.
Israel sebelum ini berulang kali mengugut untuk menganeksasi Tebing Barat sejak bermulanya perang di Gaza, dengan ancaman tersebut semakin lantang apabila lebih banyak negara kini mengiktiraf Palestin secara rasmi menjelang sidang PBB.-The Merdeka Times