Antarabangsa
Kata-kata Erdogan ‘Dunia Lebih Besar Daripada Lima’ dipamer di New York
- Ungkapan tersebut telah lama menjadi slogan Erdogan dalam menyeru kepada pembaharuan sistem PBB, khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang sering dikritik kerana kuasa besar lima ahlinya iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Rusia dan China mempunyai hak veto yang memberi pengaruh tidak seimbang.
- “Saya benar-benar percaya tanggungjawab kolektif kita ialah mengambil langkah-langkah yang akan mengembalikan PBB kepada roh penubuhannya pada ulang tahun ke-80 ini. Kami akan terus berkata ‘Dunia Lebih Besar Daripada Lima!’ sehingga wujud sistem yang menegakkan keadilan, bukan semata-mata kekuasaan,” – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan
NEW YORK – Gambar Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bersama petikan kata-katanya yang terkenal, “Dunia Lebih Besar Daripada Lima”, dipamerkan di jalan utama New York termasuk di skrin LED Times Square sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-80 di Amerika Syarikat.
Ungkapan tersebut telah lama menjadi slogan Erdogan dalam menyeru kepada pembaharuan sistem PBB, khususnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang sering dikritik kerana kuasa besar lima ahlinya iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Rusia dan China mempunyai hak veto yang memberi pengaruh tidak seimbang.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada Selasa, Erdogan sekali lagi menegaskan gesaan agar sistem dunia dikaji semula supaya selari dengan semangat asal penubuhan PBB 80 tahun lalu.
“Saya benar-benar percaya tanggungjawab kolektif kita ialah mengambil langkah-langkah yang akan mengembalikan PBB kepada roh penubuhannya pada ulang tahun ke-80 ini.
“Kami akan terus berkata ‘Dunia Lebih Besar Daripada Lima!’ sehingga wujud sistem yang menegakkan keadilan, bukan semata-mata kekuasaan,” katanya.
Selain slogan tersebut, kata-kata Erdogan yang lain, “Dunia Mampu Jadi Lebih Adil”, turut dipaparkan di papan iklan LED sekitar Times Square.
Gesaan itu dilihat selari dengan pendirian Turkiye yang berulang kali mengingatkan bahawa dunia memerlukan sistem antarabangsa yang lebih adil, inklusif dan bebas daripada dominasi kuasa besar.-The Merdeka Times