Connect with us

Antarabangsa

Global Sumud Flotila diganggu dron dan letupan ketika berlayar ke Gaza

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan

 

  • “Kami percaya dron-dron ini bertujuan menakut-nakutkan dan berkemungkinan mengumpul risikan untuk Israel,” – Kenyataan Global Sumud Flotila
  • Aktivis, Yasemin Acar, turut berkongsi rakaman video di X dengan mesej, “Serangan kesembilan. Kami diserang di perairan antarabangsa.”
  • Beliau turut melaporkan 15 hingga 16 dron besar terbang di atas kepala selain gangguan radio.

 

 

Global Sumud Flotila melaporkan kapal-kapalnya berdepan gangguan berulang di laut apabila konvoi kemanusiaan menuju ke Semenanjung Gaza diganggu letupan, dron tidak dikenali serta gangguan komunikasi.

Dalam kenyataan di platform media sosial X, flotila itu berkata sebuah kapal bernama Alma menjadi sasaran dron yang muncul hampir setiap 10 minit ketika ia berlayar membawa misi bantuan ke Gaza dan mencabar sekatan haram Israel.

“Kami percaya dron-dron ini bertujuan menakut-nakutkan dan berkemungkinan mengumpul risikan untuk Israel,” kata kumpulan itu.

Ia turut menyifatkan insiden tersebut sebagai “operasi psikologi” untuk menekan aktivis.

“Langkah yang diambil Israel dan sekutunya untuk melanjutkan penderitaan kebuluran serta pembunuhan beramai-ramai di Gaza amat menjijikkan. Namun tekad kami lebih kuat daripada sebelumnya. Taktik ini tidak akan menghalang misi kami menghantar bantuan dan memecahkan kepungan haram,” tegas kenyataan itu lagi.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese, dalam kenyataan di X, menggesa tindakan segera.

Beliau memberi amaran bahawa flotila itu telah diserang tujuh kali dalam masa singkat termasuk dengan bom bunyi, suar letupan, semburan kimia yang disyaki serta panggilan kecemasan yang disekat.

“Perhatian dan perlindungan antarabangsa segera diperlukan!” katanya.

Seorang aktivis, Yasemin Acar, turut berkongsi rakaman video di X dengan mesej, “Serangan kesembilan. Kami diserang di perairan antarabangsa.”

Dalam satu hantaran lain di Instagram dari kapal Alma, beliau melaporkan 15 hingga 16 dron besar terbang di atas kepala selain gangguan radio.

Global Sumud Flotila, dinamakan sempena perkataan Arab yang bermaksud keteguhan, terdiri daripada lebih 50 kapal membawa sukarelawan pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis.

Inisiatif itu bertujuan mencabar sekatan Israel serta menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Setakat ini, pihak berkuasa Israel belum memberi sebarang kenyataan berhubung laporan tersebut, walaupun sebelum ini konvoi bantuan ke Gaza sering dipintas.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author