Antarabangsa
Global Sumud Flotila : Israel larang masuk Gaza, Tapi benar turun bantuan di Ashkelon
- “Jika hasrat sebenar peserta flotila ialah menghantar bantuan kemanusiaan dan bukan menyokong kepentingan Hamas, Israel menggesa kapal itu berlabuh di marina Ashkelon dan memunggah bantuan di sana, sebelum ia dipindahkan segera ke Gaza secara berkoordinasi,” Kementerian Luar Israel
BAITULMAQDIS – Kerajaan Israel semalam menyatakan kesediaan untuk membenarkan kapal flotila bantuan ke Gaza berlabuh di pelabuhan Ashkelon, sebagai laluan alternatif untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah yang terkepung itu.
Dalam satu kenyataan lapor AFP, Kementerian Luar Israel menegaskan bahawa pihaknya tetap tidak akan membenarkan flotila menembusi sekatan laut yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza, namun membuka ruang bagi penghantaran bantuan secara sah dan terkoordinasi melalui Ashkelon.
“Jika hasrat sebenar peserta flotila ialah menghantar bantuan kemanusiaan dan bukan menyokong kepentingan Hamas, Israel menggesa kapal itu berlabuh di marina Ashkelon dan memunggah bantuan di sana, sebelum ia dipindahkan segera ke Gaza secara berkoordinasi,” kata kementerian tersebut.
Israel turut menegaskan bahawa zon perairan berhampiran Gaza kini diklasifikasikan sebagai kawasan konflik aktif, dan sebarang cubaan menceroboh dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Flotila berkenaan, dikenali sebagai Global Sumud Flotilla, membawa aktivis pro-Palestin dari seluruh dunia, termasuk aktivis iklim terkenal Sweden, Greta Thunberg.
Ia memulakan pelayaran dari Tunisia awal bulan ini, dengan misi untuk menghantar bantuan terus ke Gaza meskipun menghadapi beberapa halangan.
Penganjur flotila sebelum ini mendakwa dua bot mereka telah diserang oleh dron, dipercayai milik Israel. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Israel telah menghalang beberapa cubaan aktivis antarabangsa untuk memasuki Gaza melalui laut, termasuk dua insiden pada Jun dan Julai lalu.
Kementerian Luar Israel dalam kenyataannya turut menuduh Hamas berada di sebalik misi flotila ini, dan menyifatkannya sebagai usaha politik yang diselubungi agenda pejuang bersenjata. -The Merdeka Times