Antarabangsa
Samsung didakwa benarkan perisian pengintip Israel dipasang dalam telefon siri A dan M
- Telefon pintar siri A & M di rantau Asia Barat dan Afrika Utara dipasang aplikasi tersembunyi AppCloud hasil kerjasama Samsung–IronSource (Israel).
- Aplikasi AppCloud dan Aura mengakses maklumat peribadi termasuk alamat IP, cap jari peranti dan lokasi, serta hampir mustahil dipadam kerana akan muncul semula selepas kemas kini.
- Pemasangan tanpa kebenaran pengguna bercanggah dengan undang-undang perlindungan data di negara Arab, malah melanggar Akta Boikot Israel Lebanon 1955.
Pendedahan mengejut muncul apabila Samsung didakwa membenarkan pemasangan aplikasi tersembunyi bernama AppCloud, dibangunkan oleh syarikat Israel, IronSource, dalam telefon pintar siri A dan M yang dipasarkan khusus di rantau Asia Barat dan Afrika Utara (WANA).
Menurut laporan platform hak digital Lebanon, Social Media Exchange (SMEX), kerjasama itu bermula pada 2022 apabila Samsung menandatangani perjanjian dengan IronSource untuk memasang aplikasi berkenaan sebelum telefon sampai ke tangan pengguna.
Dari aplikasi ini, perisian lain dipanggil Aura turut dimuat turun secara senyap, sekali gus berfungsi mengutip maklumat peribadi pengguna tanpa pengetahuan mereka.
Pendedahan ini menimbulkan kebimbangan besar mengenai potensi pengintipan Israel terhadap berjuta-juta pengguna Arab, terutamanya selepas siri pencerobohan elektronik termasuk letupan alat penggera (pager) di Lebanon, godaman sistem komunikasi walkie-talkie Hezbollah, serta gangguan sistem navigasi penerbangan di rantau tersebut.
Aplikasi AppCloud dilaporkan mengakses data sensitif seperti alamat IP, cap jari peranti, serta maklumat peribadi lain yang boleh mengenal pasti lokasi pengguna. Malah, pakar keselamatan mendakwa aplikasi itu hampir mustahil dipadamkan kerana ia akan muncul semula selepas kemas kini sistem, menjadikannya satu bentuk perisian pengintip berteknologi tinggi.
SMEX mendedahkan aplikasi itu tertanam secara automatik dalam telefon Samsung siri A dan M yang popular di pasaran Arab, khususnya kerana harga lebih rendah dan mudah diakses golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Ini, menurut pakar, memudahkan peluasan operasi pengumpulan data di rantau berkenaan.
Pengarah program media SMEX, Abed Kataya, berkata aplikasi tersebut dipasang sebelum pembelian tanpa persetujuan pengguna, malah ia beroperasi di lebih 50 pasaran WANA termasuk Lebanon.
Katanya, walaupun pengguna boleh menekan butang “disable” dalam tetapan telefon, aplikasi itu terus berjalan di latar belakang.
Kebimbangan turut memuncak apabila aplikasi ini beroperasi bertentangan dengan undang-undang perlindungan data di negara-negara seperti Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi yang mewajibkan persetujuan jelas pengguna.
Malah, ia turut bercanggah dengan undang-undang boikot Israel seperti yang dikuatkuasakan di Lebanon sejak 1955.
IronSource, yang kini dimiliki syarikat Amerika Syarikat Unity, sebelum ini sudah terkenal dengan amalan invasif termasuk perisian InstallCore yang dikritik sebagai adware berbahaya kerana boleh memasang perisian lain tanpa kebenaran pengguna. Syarikat itu juga pernah disaman kerana menjejaki kanak-kanak dalam permainan digital.
Pakar keselamatan memberi amaran bahawa pendedahan ini menuntut Samsung segera menghentikan pemasangan automatik AppCloud, selain mendedahkan terma privasi dengan jelas.
Sehingga itu, pengguna hanya mampu menyekat aplikasi berkenaan sebahagian sahaja, atau terpaksa mengambil langkah teknikal seperti “rooting” yang boleh membatalkan waranti telefon mereka.-The Merdeka Times