Connect with us

Antarabangsa

Skandal seks, wang dan kuasa gegar Kuil Shaolin di China

Published

on

Foto: Ketua Abbot Kuil Shaolin, Shi Yongxin

 

  • Tindakan keras kerajaan tercetus selepas Ketua Abbot Kuil Shaolin, Shi Yongxin, didakwa menukar biara berusia 1,500 tahun itu menjadi empayar komersial bernilai ratusan juta yuan.
  • Shi, yang digelar “CEO Monk”, disiasat pada Julai lalu kerana didakwa menyalahgunakan dana dan mempunyai anak luar nikah dengan beberapa wanita.
  • Pada Ogos lalu, tular rakaman video menunjukkan sami-sami di Kuil Lingyin, Hangzhou, sedang mengira wang tunai dalam jumlah besar.
  • Pada Julai, seorang sami lain, Wu Bing, turut dilucutkan gelaran dan disiasat selepas didakwa menyalahgunakan dana sumbangan awam.

 

BEIJING – Kerajaan China melancarkan tindakan keras terhadap sami-sami berpengaruh yang disyaki menyalahgunakan dana kuil demi kepentingan peribadi, termasuk membongkar skandal besar di Kuil Shaolin, pusat Buddhisme terkenal dunia.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian usaha Beijing untuk mengawal institusi keagamaan serta membawa ketelusan dalam apa yang digelar sebagai “ekonomi kuil” yang kini berkembang pesat.

Menurut laporan The Guardian, sektor tersebut dijangka mencecah 100 bilion Yuan menjelang akhir tahun ini.

Industri keagamaan di China mengalami sejarah panjang yang berliku.

Pada 1950-an, banyak biara kehilangan harta benda, manakala kuil-kuil rosak teruk sewaktu Revolusi Budaya pada 1960-an dan 1970-an.

Namun, selepas pembaharuan ekonomi 1980-an, kuil kembali popular dengan sokongan kerajaan menerusi sektor pelancongan.

Kuil Shaolin, khususnya, muncul sebagai simbol kebangkitan ini apabila bertukar menjadi hab pelancongan dan menjana keuntungan besar, sekali gus mengubah wajah tradisi biara kepada pusat komersial.

Tindakan keras kerajaan tercetus selepas Ketua Abbot Kuil Shaolin, Shi Yongxin, didakwa menukar biara berusia 1,500 tahun itu menjadi empayar komersial bernilai ratusan juta yuan.

Shi, yang digelar “CEO Monk”, disiasat pada Julai lalu kerana didakwa menyalahgunakan dana dan mempunyai anak luar nikah dengan beberapa wanita. Dalam tempoh dua minggu, beliau digugurkan daripada jawatan dan dilucutkan status sami.

Ini bukan kali pertama Shaolin mencetuskan kontroversi.

Pada 2015, kuil itu dikritik hebat apabila mengemukakan cadangan pembinaan kompleks kuil bernilai hampir AS$300 juta yang merangkumi padang golf, hotel dan sekolah kungfu.

Dalam wawancara dengan BBC pada tahun sama, Shi menafikan tuduhan rasuah dan hubungan sulit.

“Jika benar wujud masalah, ia pasti sudah terbongkar lama dahulu,” katanya.

Shi Yongxin bukan satu-satunya sami yang berdepan dakwaan salah guna kuasa. Pada Ogos lalu, tular rakaman video menunjukkan sami-sami di Kuil Lingyin, Hangzhou, sedang mengira wang tunai dalam jumlah besar.

Pada Julai, seorang sami lain, Wu Bing, turut dilucutkan gelaran dan disiasat selepas didakwa menyalahgunakan dana sumbangan awam.

Wu dilaporkan meminta derma kononnya untuk membantu wanita mengandung tanpa suami serta kanak-kanak miskin, namun dana itu sebenarnya digunakan untuk perbelanjaan mewah peribadi.

Pemerhati melihat tindakan keras kerajaan ini bukan sekadar pembersihan imej agama, tetapi juga usaha menstrukturkan semula ekonomi kuil yang semakin lumayan, sekali gus mengelakkan institusi agama daripada dijadikan alat mengaut kekayaan atas nama amal dan spiritual.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author