Connect with us

Antarabangsa

Qatar kekal kukuh dengan AS, Nafi dakwaan retak hubungan akibat serangan Israel di Doha

Published

on

Foto: Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman al-Thani

 

  • Axios sebelum ini memetik dua sumber mendakwa Perdana Menteri Qatar telah memaklumkan kepada Rumah Putih bahawa Doha akan menilai semula perkongsian keselamatan dengan Washington selepas insiden yang dianggap sebagai pengkhianatan.
  • “Perkongsian keselamatan dan pertahanan Qatar-AS lebih kukuh berbanding sebelum ini dan terus berkembang. Kedua-dua negara telah saling menyokong selama bertahun-tahun, dan kami akan terus bekerjasama bagi mempromosikan keamanan serta kestabilan global,” tegas kenyataan tersebut.

 

DOHA – Qatar semalam menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa negara Teluk itu sedang menilai semula hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat (AS) berikutan serangan udara Israel di Doha baru-baru ini.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan Pejabat Media Antarabangsa Qatar, laporan oleh portal Axios itu disifatkan sebagai palsu dan cubaannya gagal untuk mencetuskan perpecahan antara Qatar dan AS oleh pihak yang mendapat manfaat daripada kekacauan di rantau ini.

Axios sebelum ini memetik dua sumber mendakwa Perdana Menteri Qatar telah memaklumkan kepada Rumah Putih bahawa Doha akan menilai semula perkongsian keselamatan dengan Washington selepas insiden yang dianggap sebagai pengkhianatan.

“Perkongsian keselamatan dan pertahanan Qatar-AS lebih kukuh berbanding sebelum ini dan terus berkembang.

“Kedua-dua negara telah saling menyokong selama bertahun-tahun, dan kami akan terus bekerjasama bagi mempromosikan keamanan serta kestabilan global,” tegas kenyataan tersebut.

Penafian itu hadir susulan serangan udara Israel yang luar biasa pada Selasa lalu, menyasarkan sebuah kompleks kediaman di Doha, ketika pemimpin Hamas dilaporkan bermesyuarat membincangkan cadangan gencatan senjata yang disokong AS bagi Gaza.

Serangan itu mengorbankan enam orang termasuk seorang pegawai keselamatan Qatar, sekali gus dikecam oleh Perwakilan Tetap Qatar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap semua undang-undang dan norma antarabangsa.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, turut menyatakan bahawa mengebom secara unilateral di Qatar tidak membantu matlamat Israel atau AS, namun secara tersirat menyokong dengan menyebut “menghapuskan Hamas” adalah “matlamat yang wajar.”

Hubungan pertahanan Qatar-AS sebelum ini diperkukuh apabila Washington mengiktiraf Qatar sebagai Sekutu Utama Bukan NATO (Major Non-NATO Ally), status yang memberi kelebihan ketenteraan dan keistimewaan ekonomi.

Qatar juga menjadi tuan rumah kepada Pangkalan Udara Al Udeid, pangkalan tentera AS terbesar di Asia Barat yang berfungsi sebagai pusat operasi Komando Pusat AS (CENTCOM), dengan pelaburan lebih AS$8 bilion oleh kerajaan Qatar.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author