Antarabangsa
Austria larang tudung pelajar bawah 14 tahun, Namun salib masih dibenarkan
- Menjawab persoalan mengapa pelajar dibenarkan memakai salib tetapi tidak tudung, Plakolm menyifatkan tudung sebagai “simbol penindasan.”
- “Tanggungjawab negara ialah memastikan kanak-kanak perempuan membesar dengan kebebasan membuat pilihan sendiri. Sekolah mesti menjadi ruang selamat untuk perkembangan diri tanpa sebarang halangan.” Menteri Integrasi, Keluarga dan Hal Ehwal Kesatuan Eropah, Claudia Plakolm
VIENNA – Austria akan melaksanakan larangan pemakaian tudung kepala bagi kanak-kanak perempuan bawah usia 14 tahun di sekolah, berkuat kuasa bermula musim luruh ini.
Menteri Integrasi, Keluarga dan Hal Ehwal Kesatuan Eropah, Claudia Plakolm, berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat kabinet pada Rabu dan akan terpakai di sekolah awam serta swasta.
Beliau menjelaskan, sekiranya ibu bapa gagal mematuhi peraturan tersebut, mereka akan dipanggil menghadiri pertemuan dengan pihak berkuasa sebelum dikenakan denda antara USD175 hingga USD1,170.
Menjawab persoalan mengapa pelajar dibenarkan memakai salib tetapi tidak tudung, Plakolm menyifatkan tudung sebagai “simbol penindasan.”
“Tanggungjawab negara ialah memastikan kanak-kanak perempuan membesar dengan kebebasan membuat pilihan sendiri. Sekolah mesti menjadi ruang selamat untuk perkembangan diri tanpa sebarang halangan,” katanya.
“Kanak-kanak perempuan harus dapat membesar dengan bebas, yakin diri, dan kelihatan di masyarakat kita. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk melarang tudung kanak-kanak. Larangan ini akan disertakan dengan pakej langkah kesedaran kepada ibu bapa, program memperkasakan pelajar perempuan serta usaha konsisten mendidik pelajar lelaki,” tulisnya dalam hantaran di platform X.
Bagaimanapun, langkah tersebut mendapat kritikan daripada Komuniti Agama Islam Austria (IGGO) yang menyifatkan larangan itu sebagai politik simbolik yang mengorbankan kanak-kanak dan demokrasi.
“Larangan tudung akan melemahkan keyakinan terhadap kedaulatan undang-undang, mengancam perpaduan sosial serta menstigmakan kanak-kanak, bukannya memperkasakan mereka,” jelas badan itu dalam satu kenyataan.
Mahkamah Perlembagaan Austria sebelum ini pernah membatalkan larangan pemakaian tudung pada 2020 selepas mendapati peraturan tersebut menyasarkan umat Islam secara khusus.-The Merdeka Times