Antarabangsa
Roblox dikecam gantung YouTuber dedah pemangsa seksual
- Tindakan tersebut mencetuskan bantahan besar, termasuk satu petisyen yang menuntut peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Roblox, David Baszucki.
- Roblox menegaskan bahawa kes pemangsa seksual hanya wajar ditangani oleh pihak berkuasa dan profesional terlatih, bukannya pencipta kandungan bebas.
- “Mereka (Roblox) enggan bertindak dalam banyak kes, tetapi sebaliknya menghukum saya. Larangan ini benar-benar mengecewakan.” – Schlep, Youtuber
Platform permainan dalam talian popular, Roblox, berdepan kecaman hebat selepas menggantung akaun YouTuber Schlep, 22 tahun, yang terkenal kerana mendedahkan pemangsa seksual dalam dunia maya mesra kanak-kanak itu.
Tindakan tersebut mencetuskan bantahan besar, termasuk satu petisyen yang menuntut peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Roblox, David Baszucki.
Petisyen itu sudah mengumpul lebih 215,000 tandatangan setakat minggu lalu.
Schlep yang memiliki lebih 1.6 juta pengikut YouTube membina salurannya berasaskan misi “memburu pemangsa” di alam Roblox.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan sepanjang tahun lalu telah membawa kepada sekurang-kurangnya enam tangkapan pihak berkuasa.
Schlep turut mendedahkan bahawa ketika zaman kanak-kanaknya, beliau sendiri pernah menjadi mangsa ‘grooming’ oleh seorang pembangun terkenal dalam Roblox.
Namun apabila ibunya membuat aduan, Roblox didakwa tidak mengendahkannya dan pelaku berkenaan kekal aktif selama bertahun-tahun. Pengalaman itu mendorongnya untuk menumpukan kandungan salurannya kepada usaha melindungi kanak-kanak dalam platform tersebut.
Pada 11 Ogos lalu, Roblox menutup semua akaun Schlep dan mengeluarkan surat cease-and-desist dengan menuduh beliau melakukan “aktiviti berbahaya,” termasuk memindahkan perbualan ke luar platform serta mengganggu sistem keselamatan rasmi.
Roblox menegaskan bahawa kes pemangsa seksual hanya wajar ditangani oleh pihak berkuasa dan profesional terlatih, bukannya pencipta kandungan bebas.
Namun Schlep menolak tuduhan itu sebagai tidak adil, dengan mendakwa ramai pemangsa sering beralih ke Discord, dan beliau hanya mengikut jejak bukti sebelum menyerahkannya kepada polis.
“Mereka (Roblox) enggan bertindak dalam banyak kes, tetapi sebaliknya menghukum saya. Larangan ini benar-benar mengecewakan,” katanya.
Bagi penyokongnya, Schlep dianggap sebagai whistleblower yang dihukum kerana mendedahkan kebenaran pahit. Malah, tokoh TV terkenal Chris Hansen yang sinonim dengan rancangan “To Catch a Predator” dilaporkan sudah menghubunginya untuk kemungkinan menghasilkan dokumentari khas.
Di media sosial, ramai pemain menuduh Roblox lebih mementingkan imej korporat berbanding keselamatan komuniti mudanya.
Kontroversi ini berlaku ketika Roblox semakin dikritik di seluruh dunia berhubung tahap keselamatan terhadap kanak-kanak.
Qatar baru-baru ini menyekat akses kepada permainan itu, menyertai senarai negara lain seperti China, Turki, Oman dan Kuwait yang turut menzahirkan kebimbangan terhadap isu pemangsa serta kandungan tidak sesuai.
Dalam tekanan yang semakin meningkat, Roblox kini memperkenalkan beberapa kemas kini keselamatan termasuk seksyen “Adults-Only” dengan akses terhad kepada pemain berusia 18 tahun ke atas.
Sebelum ini had umur ditetapkan pada 17 tahun, namun kini pencipta kandungan juga wajib berusia 18 tahun untuk memuat naik bahan yang dikategorikan sebagai terhad.-The Merdeka Times