Antarabangsa
Calon Datuk Bandar NYC: Dana pencen tidak wajar biayai bon Israel
- Dalam wawancara bersama program The Point terbitan CBS New York pada Ahad, Mamdani ditanya sama ada beliau akan mengarahkan pengurus dana pencen untuk menarik balik pelaburan daripada syarikat yang menjalankan urus niaga dengan Israel atau daripada Bon Israel.
- “Saya fikir kita tidak sepatutnya mempunyai dana yang dilaburkan dalam perkara yang melanggar undang-undang antarabangsa.” – Calon Demokrat bagi Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani
- Dana pencen NYC kini masih mempunyai pelaburan bernilai AS$315 juta dalam firma dan hartanah Israel.
NEW YORK – Calon Demokrat bagi Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, menegaskan beliau tidak bersetuju dana pencen bandar raya itu dilaburkan dalam Bon Israel kerana didakwa berkait dengan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Dalam wawancara bersama program The Point terbitan CBS New York pada Ahad, Mamdani ditanya sama ada beliau akan mengarahkan pengurus dana pencen untuk menarik balik pelaburan daripada syarikat yang menjalankan urus niaga dengan Israel atau daripada Bon Israel.
New York City (NYC) sebelum ini mempunyai rekod pelaburan yang besar dalam kedua-duanya.
“Saya fikir kita tidak sepatutnya mempunyai dana yang dilaburkan dalam perkara yang melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Mamdani turut menyatakan bahawa pendekatan yang diambil oleh Pengawal Kewangan (Comptroller) NYC, Brad Lander, terhadap Bon Israel adalah langkah yang tepat.
Lander sebelum ini memutuskan untuk tidak membeli Bon Israel baharu selepas $30 juta bon matang pada awal 2023, dengan alasan dasar bandar raya yang mengelakkan hutang kedaulatan asing serta enggan memberikan layanan istimewa kepada Israel berbanding negara lain.
Namun, keputusan Lander mencetuskan kontroversi dan dituduh tunduk kepada gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) yang diketuai Palestin. Lander menafikan tuduhan itu, menegaskan keputusan tersebut bersifat dasar, bukan politik.
Dalam wawancara itu, apabila ditanya sama ada beliau akan menolak pelaburan daripada syarikat lain yang turut berniaga dengan Israel, Mamdani tidak menjawab secara langsung.
Sebaliknya, beliau menekankan kepentingan mengenal pasti bidang di mana bandar raya itu terlibat secara langsung.
“Bagi saya, pembelian Bon Israel oleh dana pencen bandar adalah sesuatu yang jelas mencerminkan nilai kita, dan nilai itu seharusnya selari dengan undang-undang antarabangsa,” tegasnya.
Setakat Mac tahun lalu, Dana Persaraan Bersama Negeri New York memiliki kira-kira AS$352 juta dalam Bon Israel, menjadikannya salah satu pelabur terbesar berpangkalan di Amerika Syarikat.
Walaupun begitu, dana pencen NYC kini masih mempunyai pelaburan bernilai AS$315 juta dalam firma dan hartanah Israel.
Dana pencen NYC melibatkan lima skim utama termasuk Sistem Persaraan Pekerja Bandar Raya New York, Dana Persaraan Bomba, Dana Persaraan Polis, Sistem Persaraan Guru serta Sistem Persaraan Lembaga Pendidikan NYC, dengan jumlah aset keseluruhan bernilai AS$289 bilion di bawah seliaan pengawal kewangan bandar.-The Merdeka Times