Connect with us

Antarabangsa

OMAI jadi NGO Malaysia pertama salur bantuan makanan di Kunar, Afghanistan

Published

on

Foto: Pengacara program Garis Krisis, Lila Ruzaini,
  • Dengan sokongan pihak berkuasa tempatan, pemimpin komuniti dan NGO terbesar di Afghanistan, Ehsas, OMAI menggerakkan sumber ke kawasan bencana dan menjadi NGO Malaysia pertama yang mengagihkan makanan panas kepada keluarga mangsa.
  • OMAI yang diterajui Nabilah Shahrudin (Pengarah Projek Dapur OMAI) bersama Lila Ruzaini dan Norashikin Abdul Latiff, ditubuhkan untuk memperkukuh semangat solidariti Malaysia terhadap rakyat Afghanistan.

 

AFGHANISTAN – Organisasi Malaysia Afghanistan Initiative (OMAI) mencipta sejarah apabila menjadi NGO Malaysia pertama dan antara NGO asing terawal menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa gempa bumi di wilayah Kunar, Afghanistan.

Misi kemanusiaan itu dilaksanakan menerusi program Dapur OMAI, yang pada awalnya bermula sebagai projek perintis enam bulan di Mazar-e-Sharif dengan sokongan Yayasan Restu.

Program tersebut dilaksanakan bersama Ehsas Welfare and Social Services Organization, NGO terbesar di Afghanistan, dengan matlamat menyediakan makanan kepada keluarga terjejas selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk wanita tempatan sebagai tukang masak.

Namun, apabila tragedi gempa bumi melanda Kunar, fokus misi segera berubah. Dengan sokongan pihak berkuasa tempatan, pemimpin komuniti dan NGO Ehsas, OMAI menggerakkan sumber ke kawasan bencana dan menjadi NGO Malaysia pertama yang mengagihkan makanan panas kepada keluarga mangsa.

Setakat ini, bencana itu meragut 2,205 nyawa, mencederakan lebih 3,600 orang dan menjejaskan lebih 84,000 penduduk, manakala sehingga 98 peratus bangunan di beberapa kampung musnah atau rosak, menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.

Pengarah Eksekutif Ehsas, Abdul Fatah Jawad, mengesahkan bahawa OMAI adalah NGO Malaysia pertama yang tampil di Kunar.

“OMAI adalah rakan yang bersama kami sejak awal, memastikan makanan terus sampai kepada mereka yang paling memerlukan,” katanya.

Pengacara program Garis Krisis terbitan The Merdeka Times, Lila Ruzaini antara individu penting yang membawa amanah membantu mangsa bencana.

Ketika berada di kawasan terjejas, satu lagi gempa bumi berlaku namun beliau terselamat dan kini meneruskan misi kemanusiaan di Jalalabad.

 

OMAI yang diterajui Nabilah Shahrudin (Pengarah Projek Dapur OMAI) bersama Lila Ruzaini dan Norashikin Abdul Latiff, ditubuhkan untuk memperkukuh semangat solidariti Malaysia terhadap rakyat Afghanistan.

Dengan sokongan Yayasan Restu, OMAI kini mampu meneruskan beberapa lagi pusingan agihan makanan, namun mangsa gempa masih memerlukan bantuan asas lain termasuk khemah dan tempat perlindungan.

“Alhamdulillah, Malaysia hadir di Kunar melalui OMAI, NGO Malaysia pertama yang turun padang. InshaAllah, kami akan terus berusaha membawa manfaat berpanjangan buat rakyat Afghanistan yang tabah ini,” kata Nabilah dalam kenyataannya.

Orang ramai yang ingin menyokong usaha ini digesa menyalurkan sumbangan melalui laman rasmi Facebook OMAI. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author