Antarabangsa
Israel pilih 7 Oktober untuk tawan, jajah Gaza secara rasmi – dedah risikan Mesir
- Tarikh itu dipilih kerana bertepatan dengan ulang tahun kedua tercetusnya perang besar antara Israel dan Hamas pada 2023.
- Menurut sumber perisikan, rancangan tersebut mencerminkan tekad Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menawan Gaza sebagai simbol pemulihan maruah politiknya.
- Ketegangan ini turut menyingkirkan Mesir daripada rundingan gencatan senjata, sedangkan negara itu sebelum ini menjadi antara pengantara utama. Kini, rundingan lebih banyak dikuasai Israel, Amerika Syarikat, dan sedikit campur tangan Qatar namun tanpa hasil konkrit.
KAHERAH — Sumber perisikan kanan Mesir mendedahkan bahawa kepimpinan Israel sedang mempertimbangkan tarikh simbolik 7 Oktober sebagai detik untuk menaikkan bendera mereka di Bandar Gaza dan mengisytiharkannya sebagai wilayah jajahan sepenuhnya.
Tarikh itu dipilih kerana bertepatan dengan ulang tahun kedua tercetusnya perang besar antara Israel dan Hamas pada 2023.
Pendedahan ini sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu di rantau ini bahawa konflik Gaza akan memasuki fasa paling getir dengan kemungkinan pertumpahan darah yang lebih dahsyat.
Menurut sumber perisikan, rancangan tersebut mencerminkan tekad Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menawan Gaza sebagai simbol pemulihan maruah politiknya.
“Bagi Netanyahu, kejayaan mengambil alih Gaza adalah soal maruah dan prestij, meskipun terpaksa mengorbankan nyawa tebusan yang masih ditahan Hamas,” kata seorang pegawai kanan perisikan kepada Middle East Eye.
Walaupun Hamas telah bersetuju dengan cadangan gencatan senjata terbaru, Israel menolak cadangan itu meskipun sebelum ini dilaporkan memberi lampu hijau.
Sumber Mesir menegaskan bahawa penolakan Israel sudah dijangka kerana lawatan delegasi perisikan Mesir sebelum ini tidak pernah mendapat respons positif, sebaliknya hanya janji kosong.
Ketegangan ini turut menyingkirkan Mesir daripada rundingan gencatan senjata, sedangkan negara itu sebelum ini menjadi antara pengantara utama. Kini, rundingan lebih banyak dikuasai Israel, Amerika Syarikat, dan sedikit campur tangan Qatar namun tanpa hasil konkrit.
Perancangan simbolik Israel itu, menurut penganalisis, adalah langkah untuk menunjukkan kemenangan moral kepada rakyat Israel, walaupun risiko sebenar di lapangan jauh lebih besar.
Tentera Israel dijangka berdepan tentangan sengit Hamas, termasuk serangan berani mati dan pertempuran jalanan yang mampu menguji kekuatan mereka.
“Jika korban meningkat, Israel mungkin akhirnya terpaksa kembali ke meja rundingan. Tetapi buat masa ini, rancangan Netanyahu jelas mahu mengisytiharkan Gaza sebagai jajahan penuh, tanpa menghiraukan tekanan antarabangsa,” ujar sumber tersebut.
Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, dilaporkan tetap mengarahkan pasukan perisikan negaranya meneruskan usaha berhubung dengan semua pihak serantau dan antarabangsa bagi mencari jalan damai.
Namun, sumber menambah bahawa Kaherah kini lebih bimbang kemungkinan ribuan rakyat Palestin akan cuba menyeberangi sempadan Sinai jika serangan besar-besaran Israel diteruskan.
Pemerhati antarabangsa pula menegaskan bahawa sekiranya Israel benar-benar melaksanakan perisytiharan pada 7 Oktober, ia bukan sahaja akan menambah penderitaan rakyat Gaza tetapi juga mengubah landskap politik serantau secara dramatik termasuk berisiko menyeret Mesir ke kancah konflik secara langsung.-The Merdeka Times