Antarabangsa
Sebuah kampung di Sudan bangkit lawan pengganas RSF, belajar senjata dari YouTube – dan menang
- RSF dilaporkan melakukan kekejaman di kampung-kampung sekitar, termasuk pembunuhan beramai-ramai dan keganasan seksual. Namun, sebuah kampung yang dikenali al-Tekeina enggan tunduk.
- “Tiada tentera datang melindungi kami. Jadi kami terpaksa bertindak sendiri,” kata al-Amin Idriss Mohammed, seorang ahli perniagaan yang kini menjadi ketua pasukan pertahanan kampung.
- “Saya tak pernah pegang senjata sebelum ini. Sekarang saya tahu guna senjata ringan dan berat, termasuk RPG yang saya belajar dari YouTube,” jelasnya.
Al-Tekeina – Ketika kebanyakan kampung di negeri al-Jazira, Sudan jatuh ke tangan kumpulan pengganas, separa tentera Rapid Support Forces (RSF), satu kampung kecil berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa: mempertahankan diri – dan menang.
Kampung al-Tekeina, terletak kira-kira 50 kilometer di selatan ibu negara Khartoum, menjadi simbol ketahanan penduduk awam selepas mereka menubuhkan pasukan pertahanan sendiri bagi menangkis serangan RSF, yang semakin agresif sejak hujung 2023.
“Tiada tentera datang melindungi kami. Jadi kami terpaksa bertindak sendiri,” kata al-Amin Idriss Mohammed, seorang ahli perniagaan yang kini menjadi ketua pasukan pertahanan kampung.
“Saya tak pernah pegang senjata sebelum ini. Sekarang saya tahu guna senjata ringan dan berat, termasuk RPG yang saya belajar dari YouTube,” jelasnya yang dilaporkan Middle East Eye.
Konflik berskala besar meletus pada April 2023 apabila cubaan menyerap RSF ke dalam tentera Sudan (SAF) gagal dan bertukar menjadi peperangan yang telah meragut puluhan ribu nyawa serta memaksa lebih 12 juta orang melarikan diri.
Ketika RSF mara ke negeri al-Jazira dan menawan Wad Madani pada Disember 2023, kedudukan kampung al-Tekeina menjadi genting.
RSF dilaporkan melakukan kekejaman di kampung-kampung sekitar, termasuk pembunuhan beramai-ramai dan keganasan seksual.
Namun, al-Tekeina enggan tunduk.
“Kami mula gali parit, tutup jalan utama, dan bersedia dengan senjata ringan. Remaja pun bantu, mereka baling batu,” kata Magd Omar Mohammed Ibrahim, anggota jawatankuasa penduduk kampung.
Apabila ancaman meningkat, penduduk mula mengumpul kayu, besi buruk, pintu lama – apa sahaja yang boleh dijadikan penghadang.
Penduduk muda dilatih untuk berperang. Diaspora kampung dari luar negara pula mengirim wang bagi membeli senjata, termasuk dari RSF sendiri.
“Kami beli senjata terus dari RSF. Mereka sanggup jual apa saja kalau diberi wang,” kata Ibrahim.
Serangan besar-besaran RSF berlaku pada 24 Mei 2024, apabila puluhan kenderaan bersenjata mengepung kampung dan melepaskan tembakan berterusan selama tiga hari.
Seramai 22 penduduk terbunuh dan 40 lagi cedera. Kaum wanita dan kanak-kanak dipindahkan menyeberangi Sungai Nil untuk keselamatan.
“Kami hanya makan sekali sehari. Dapur awam memasak dan agihkan makanan. Barisan hadapan tak pernah ditinggalkan,” kata Ibrahim, menceritakan enam bulan kampung mereka dikepung.
Akhirnya, satu persetujuan dicapai: RSF dibenarkan guna jalan utama dan mendirikan tiga sekatan, tetapi kampung al-Tekeina tidak boleh disentuh.
Kejayaan al-Tekeina melindungi diri tanpa sokongan ketenteraan menunjukkan ketabahan luar biasa masyarakat akar umbi Sudan dalam menghadapi keganasan dan pengabaian oleh pihak berkuasa. – The Merdeka Times