Terkini
78,883 lepasan STPM, setaraf ditawar pengajian ke universiti awam
- Pihak kementerian telah menerima sebanyak 109,866 permohonan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi UPUOnline.
- Secara keseluruhannya, sebanyak 1,132 program pengajian Ijazah Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.
- Proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula daripada hari ini pukul 12 tengah hari sehingga 14 September depan pukul 5 petang
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan seramai 78,883 calon lepasan Matrikulasi, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia, Diploma/setaraf ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke universiti awam pada tahun ini.
Jumlah itu merangkumi 71.80% daripada keseluruhan permohonan tahun ini.
KPT dalam satu kenyataan berkata pada tahun ini, pihak kementerian telah menerima sebanyak 109,866 permohonan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda menerusi UPUOnline.
“Sebanyak 1,132 program pengajian Ijazah Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.
“Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” jelas kenyataan itu.
KPT turut memaklumkan kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, pihak kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari, bermula daripada hari ini jam 12 tengah hari sehingga 14 September depan jam 5 petang. – The Merdeka Times.