Connect with us

Antarabangsa

Tokoh agama desak kerajaan Indonesia penuhi tuntutan rakyat 17+8

Published

on

Foto: Pengerusi Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Alissa Qothrunnada Wahid (kanan), Uskup Agung Jakarta, Kardinal Ignatius Suharyo Hardjoatmodjo (tengah) dan Ahli falsafah dan ulama, Franz Magnis Suseno (kiri).
  • Antara intipati utama tuntutan itu termasuklah menolak tindakan menjenayahkan penunjuk perasaan, mengelak tindakan represif pihak berkuasa, serta memotong insentif berlebihan pegawai awam yang membebankan anggaran negara.
  • “Jika pemerintah dan pegawai kerajaan tidak belajar daripada dua peristiwa besar yang sedang meluas di media sosial ini, ia sangat buruk.” – Pengerusi Pengurus Besar Nahdlatul Ulama, Alissa Qothrunnada Wahid

 

JAKARTA – Beberapa tokoh agama dan masyarakat menyeru kerajaan Indonesia agar mendengar suara rakyat dengan memberi perhatian serius terhadap tuntutan yang digelar “17+8 Tuntutan Rakyat” yang kini meluas dibicarakan di media sosial.

Dalam sidang media pada Rabu, Pengerusi Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU), Alissa Qothrunnada Wahid memuji bagaimana tuntutan tersebut dirumuskan berdasarkan aspirasi pelbagai kelompok masyarakat, khususnya golongan muda.

Beliau berkata, gerakan organik yang tercetus di pelbagai platform media sosial itu sebenarnya telah bermula sejak sekian lama, apabila rakyat terus memberikan pandangan serta cadangan untuk dasar yang lebih mesra rakyat.

“Jika pemerintah dan pegawai kerajaan tidak belajar daripada dua peristiwa besar yang sedang meluas di media sosial ini, ia sangat buruk,” katanya.

Alissa turut menekankan terdapat persamaan antara “17+8 Tuntutan Rakyat” dengan suara yang pernah disuarakan oleh tokoh Gerakan Nurani Bangsa (GNB).

Antara intipati utama tuntutan itu termasuklah menolak tindakan menjenayahkan  penunjuk perasaan, mengelak tindakan represif pihak berkuasa, serta memotong insentif berlebihan pegawai awam yang membebankan anggaran negara.

Dalam sidang media sama, Uskup Agung Jakarta, Kardinal Ignatius Suharyo Hardjoatmodjo, menyatakan bahawa sejak beberapa penggal terdahulu, pelbagai saranan, idea, dan kritikan telah dikemukakan oleh pihak tanpa kepentingan khusus, termasuk kalangan cendekiawan dan akademik.

Menurut beliau, pandangan tersebut seharusnya tidak ditapis agar pemimpin negara tidak hanya mendengar perkara yang menyenangkan telinga semata-mata.

“Tolong dengarkan, benar-benar pertimbangkan, dan fikirkan bersama dengan melibatkan tokoh yang tidak mempunyai niat selain untuk kebaikan bangsa ini,” katanya.

Gelombang protes tercetus pada 25 Ogos, apabila rakyat menentang insentif berlebihan yang diberikan kepada ahli parlimen.

Insiden itu meragut nyawa Affan Kurniawan, seorang penunggang ojek dalam talian berusia 21 tahun, yang maut setelah dirempuh kenderaan taktikal polis. Kejadian tersebut kemudian mencetuskan rusuhan besar di beberapa wilayah Indonesia. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author