Connect with us

Antarabangsa

Myanmar ke Gaza: Mahkamah antarabangsa gagal cegah genosid, hukum pelaku

Published

on

Foto: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)
  • “Bagi Rohingya, genosid Myanmar masih berterusan. Mereka tidak mempunyai hak atau perlindungan, malah tiada prospek sebenar untuk kembali, tidak jauh berbeza daripada apa yang dihadapi rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri.” – Penulis artikel siaran TRT Global
  • “Satu pengajaran jelas ialah pola kegagalan berulang sistem antarabangsa negara-negara politik, serta sistem kehakiman utamanya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), untuk memastikan negara pelaku jenayah bertanggungjawab.
  • “Ini secara langsung membawa kepada keadaan kebal daripada hukuman bagi jenayah selanjutnya di Myanmar,” jelas penulis

ARAKAN – Lapan tahun selepas tentera Myanmar melancarkan kempen genosid terhadap etnik Rohingya, sistem kehakiman antarabangsa terbukti tidak berdaya mencegah kekejaman mahupun menghukum pelakunya. 

Pola kegagalan sama kini dapat dilihat di Gaza, apabila angka korban awam meningkat mendadak sedangkan dunia hanya menyaksikan tanpa tindakan berkesan.

Pada 2017, tentera Myanmar menjalankan “operasi pembersihan keselamatan” yang membawa kepada pengusiran paksa lebih 740,000 Rohingya ke Bangladesh, sementara lebih 300 kampung dimusnahkan. 

Kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi ketika itu bukan sahaja gagal menghalang, malah secara rasmi mempertahankan tindakan tersebut di pentas antarabangsa, sekali gus memberi kebenaran kepada penghapusan etnik.

Penulis artikel disiarkan TRT Global, Natalie Brinham dan Maung Zarni, mengimbas kunjungan mereka ke Cox’s Bazaar, Bangladesh, lokasi salah satu kem pelarian terbesar dunia. 

Di sana, mereka mendengar kisah rogol beramai-ramai, pembunuhan, pembakaran rumah dan pengusiran paksa daripada mangsa Rohingya yang terselamat. 

“Bagi Rohingya, genosid Myanmar masih berterusan. Mereka tidak mempunyai hak atau perlindungan, malah tiada prospek sebenar untuk kembali, tidak jauh berbeza daripada apa yang dihadapi rakyat Palestin di tanah air mereka sendiri,” jelas penulis dalam artikel mereka.

Myanmar kini berdepan kes genosid yang difailkan Gambia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2019. 

Pada Januari 2020, ICJ mengiktiraf 600,000 Rohingya yang masih berada di Myanmar sebagai kumpulan dilindungi dan memerintahkan Yangon mencegah kekerasan lanjut. 

Namun keputusan itu tidak membawa perubahan nyata. Sejak itu, kekebalan daripada hukuman di Myanmar hanya meningkat. 

“Satu pengajaran jelas yang kami ambil ialah pola kegagalan berulang sistem antarabangsa negara-negara politik, serta sistem kehakiman utamanya Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), untuk memastikan negara pelaku jenayah bertanggungjawab. Ini secara langsung membawa kepada keadaan kebal daripada hukuman bagi jenayah selanjutnya di Myanmar,” kata penulis.

Dalam kes Gaza pula, laporan tentera Israel yang bocor mendedahkan 83 peratus korban dalam operasi ketenteraan adalah orang awam. 

Sama seperti Rohingya, nasib rakyat Palestin terperangkap dalam lingkaran kekejaman tanpa perlindungan undang-undang yang efektif. 

Keadaan ini menggambarkan pola berulang di mana mahkamah antarabangsa gagal memegang negara pelaku jenayah bertanggungjawab, sekali gus membuka jalan kepada lebih banyak kekejaman tanpa hukuman.

Selepas rampasan kuasa 2021, tentera Myanmar memperluaskan jenayah perang terhadap etnik minoriti lain dan penentang politik. 

Pada masa sama, Tentera Arakan dari etnik Buddha Rakhine turut dituduh oleh PBB melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya yang masih tinggal di wilayah itu, didorong ideologi nasionalisme etno-Buddha anti-Islam. 

Lebih mengecewakan, sebahagian organisasi penentang rampasan kuasa memilih berdiam diri atau berpakat dengan Tentera Arakan, seolah-olah pembunuhan beramai-ramai Rohingya tidak penting berbanding kepentingan politik mereka.

Aung San Suu Kyi kini ditahan selepas rampasan kuasa, namun turut berdepan waran tangkap ala-Pinochet kerana peranannya dalam jenayah kemanusiaan Myanmar. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author