Terkini
Terjejas boikot isu Palestin, syarikat kendali Starbucks Malaysia rugi hampir 5 kali ganda
- Berjaya Food Bhd catat kerugian suku tahunan dan tahunan terburuk sejak penyenaraian pada 2011, berikutan pelupusan nilai aset rangkaian Starbucks Malaysia yang terjejas akibat boikot pengguna ekoran isu Palestin.
- Kerugian bersih bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025 melonjak kepada RM185.79 juta, hampir lima kali ganda berbanding RM38.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya, berikutan pendapatan syarikat susut 10% kepada RM115.9 juta daripada RM130.57 juta.
KUALA LUMPUR – Berjaya Food Bhd mencatat kerugian suku tahunan dan tahunan terburuk sejak penyenaraian pada 2011, berikutan pelupusan nilai aset rangkaian Starbucks Malaysia yang terjejas akibat boikot pengguna ekoran isu Palestin dengan konflik berpanjangan di Timur Tengah.
Kerugian bersih bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025 melonjak kepada RM185.79 juta, hampir lima kali ganda berbanding RM38.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil susut 10% kepada RM115.9 juta daripada RM130.57 juta.
Prestasi merudum itu dipacu oleh caj pelupusan nilai aset hartanah, loji dan peralatan (PPE) serta aset hak guna (ROU) berjumlah RM149.88 juta, susulan penguncupan operasi Starbucks Malaysia.
Tiada dividen diumumkan. Syarikat membayar 0.44 sen sesaham bagi FY2024 dan 3.5 sen pada FY2023.
Bagi tahun kewangan 2025, kerugian bersih tahunan kumpulan melebar kepada RM291.99 juta, lebih tiga kali ganda berbanding kerugian RM90.92 juta pada FY2024, dengan hasil merosot 36.5% kepada RM476.77 juta daripada RM750.7 juta.
Berjaya Food, yang mengendalikan jenama Starbucks Coffee di Malaysia dan Brunei, Kenny Rogers Roasters di Malaysia serta Paris Baguette di Filipina, berkata pihaknya kekal fokus menyusun semula rangkaian kedai tempatan sambil meneroka pasaran luar negara bagi memperkukuh pertumbuhan mampan.
“Ke hadapan, kumpulan komited mencipta nilai jangka panjang melalui inovasi, transformasi digital dan pengukuhan keterlibatan pelanggan,” katanya, sambil menambah bahawa ia mensasarkan peningkatan ekuiti jenama, prestasi kewangan serta perluasan antarabangsa bagi membuka nilai lebih besar kepada pemegang saham.
Saham Berjaya Food, yang telah susut lebih 15% setakat tahun ini, ditutup tidak berubah pada 29.5 sen, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM564.98 juta. – The Merdeka Times.