Terkini
Qatar: Hamas dah setuju, Israel belum jawab cadangan gencatan senjata
- Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata, tiada sebarang maklum balas rasmi dari Israel sama ada menerima, menolak atau mengemukakan cadangan alternatif.
- “Apa yang Hamas persetujui adalah sama dengan apa yang Israel sudah setujui. Kini bola berada di gelanggang Israel, dan nampaknya Israel tidak mahu mencapai persetujuan atau memberi maklum balas terhadap cadangan tersebut,” katanya.
- Qatar juga menyeru masyarakat antarabangsa supaya menekan Israel agar menerima cadangan gencatan senjata Gaza yang terkini.
DOHA – Qatar mengesahkan Israel masih belum memberi maklum balas terhadap cadangan gencatan senjata Gaza yang dipersetujui Hamas, yang dikemukakan oleh pihak perantara Mesir dan Qatar lebih 10 hari lalu.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata, tiada sebarang maklum balas rasmi dari Israel sama ada menerima, menolak atau mengemukakan cadangan alternatif.
Walaupun Qatar berjanji untuk meneruskan usahanya bagi menamatkan perang Israel di Gaza, Majed menyeru masyarakat antarabangsa supaya menekan Israel agar menerima cadangan gencatan senjata Gaza yang terkini.
“Kami sedang berhubung dengan semua pihak bagi mencapai persetujuan gencatan senjata, namun tiada respons rasmi daripada Israel, sama ada penerimaan, penolakan, ataupun pengemukaan cadangan alternatif,” katanya yang dipetik Al Jazeera, sambil menambah bahawa Qatar sedang berkomunikasi dengan semua pihak dalam usaha mencapai perjanjian gencatan senjata.
Sebelum ini, Hamas berkata pihaknya telah memaklumkan kepada perantara Mesir dan Qatar bahawa mereka telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan bersedia untuk menyambung rundingan bagi menamatkan perang di Gaza, yang kini mengancam perpindahan besar-besaran akibat kebuluran yang ditimbulkan Israel.
Sumber rapat dengan rundingan gencatan senjata memberitahu Al Jazeera bahawa cadangan itu termasuk penghentian operasi tentera Israel selama 60 hari, di mana tentera Israel akan berundur bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk. Separuh daripada baki 50 tebusan juga akan ditukar dengan tahanan Palestin dalam tempoh tersebut.
“Apa yang Hamas persetujui adalah sama dengan apa yang Israel sudah setujui. Kini bola berada di gelanggang Israel, dan nampaknya Israel tidak mahu mencapai persetujuan atau memberi maklum balas terhadap cadangan tersebut.
“Bagi Mesir atau Qatar, tidak penting di mana rundingan itu diadakan,” kata Majed, selepas media Israel mencadangkan supaya lokasi rundingan dipindahkan ke negara lain. – The Merdeka Times