Antarabangsa
‘Pintu neraka akan terbuka’ jika Hamas tidak serah diri – Menteri zionis
- Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengeluarkan amaran keras kepada Hamas bahawa “pintu neraka akan terbuka” sekiranya kumpulan itu enggan menyerah diri serta membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.
- “Gaza, ibu kota Hamas, akan menjadi seperti Rafah dan Beit Hanoun,” kata Katz, merujuk kepada dua bandar yang musnah akibat operasi Israel terdahulu.
GAZA – Ketegangan di Semenanjung Gaza terus memuncak selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengeluarkan amaran keras kepada Hamas bahawa “pintu neraka akan terbuka” sekiranya kumpulan itu enggan menyerah diri serta membebaskan semua tebusan yang masih ditahan.
Amaran itu disuarakan menjelang operasi ketenteraan besar-besaran Israel yang disasarkan untuk menawan sepenuhnya Bandar Gaza, pusat pentadbiran dan operasi Hamas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebelum ini telah meluluskan mobilisasi kira-kira 60,000 anggota simpanan bagi memperkukuh serangan darat dan udara.
“Gaza, ibu kota Hamas, akan menjadi seperti Rafah dan Beit Hanoun,” kata Katz, merujuk kepada dua bandar yang musnah akibat operasi Israel terdahulu.
Beliau menegaskan serangan hanya akan dihentikan sekiranya Hamas bersetuju dengan syarat Israel, termasuk pelucutan senjata serta pembebasan semua tebusan.
Dalam pada itu, Hamas dilaporkan telah menerima cadangan gencatan senjata yang difasilitasi Mesir dan Qatar. Cadangan tersebut melibatkan pembebasan tebusan secara berperingkat dan pengunduran tentera Israel dari beberapa kawasan, namun Israel masih belum memberikan maklum balas rasmi.
Sementara itu, penduduk Gaza City kini berdepan dilema getir kekal di rumah dengan risiko terbunuh atau berpindah ke kawasan selatan yang turut dibedil dan tidak menjamin keselamatan.
Serangan udara dan artileri dilaporkan semakin memuncak di kawasan Zeitoun, Sabra dan Tuffah, menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan antarabangsa memberi amaran bahawa serangan ke atas Bandar Gaza akan membawa akibat kemanusiaan yang lebih parah, dengan hospital di selatan Gaza kini beroperasi melebihi kapasiti serta kekurangan bekalan perubatan.
Di Israel, keluarga tebusan mengadakan protes di Tel Aviv, menuntut kerajaan supaya mengutamakan rundingan dan keselamatan tebusan berbanding tindakan ketenteraan. -The Merdeka Times