Antarabangsa
Kekurangan ubat, Ribuan penduduk Darfur Utara diancam maut
- Rangkaian Doktor Sudan dalam kenyataan pada Selasa berkata, hospital di El Fasher berdepan kekurangan bekalan perubatan dan menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kesihatan yang semakin meruncing di ibu kota Darfur Utara itu.
- “Krisis ini bertambah buruk dengan peningkatan kes penyakit dan kecederaan, selain ketidakmampuan petugas kesihatan memberikan rawatan mencukupi kepada pesakit,” kata kenyataan tersebut.
- Sudan terjerumus ke dalam perang saudara sejak April 2023 apabila pertempuran meletus di ibu negara, Khartoum, antara tentera kerajaan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) selepas berbulan-bulan ketegangan mengenai penguasaan negara.
KHARTOUM – Ribuan penduduk di wilayah Darfur Utara, Sudan, kini berdepan ancaman maut susulan kekurangan ubat-ubatan penting yang berfungsi sebagai penyelamat nyawa, menurut amaran sebuah persatuan perubatan di negara bergolak itu.
Rangkaian Doktor Sudan dalam kenyataan pada Selasa berkata, hospital di El Fasher berdepan kekurangan bekalan perubatan dan menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kesihatan yang semakin meruncing di ibu kota Darfur Utara itu.
“Krisis ini bertambah buruk dengan peningkatan kes penyakit dan kecederaan, selain ketidakmampuan petugas kesihatan memberikan rawatan mencukupi kepada pesakit,” kata kenyataan tersebut.
Sudan terjerumus ke dalam perang saudara sejak April 2023 apabila pertempuran meletus di ibu negara, Khartoum, antara tentera kerajaan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) selepas berbulan-bulan ketegangan mengenai penguasaan negara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan konflik itu sebagai krisis kemanusiaan paling buruk di dunia, dengan ribuan nyawa terkorban dan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.
Dalam kenyataan bersama pada Rabu, perunding damai Sudan termasuk Mesir, Arab Saudi, Switzerland, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan PBB menggesa kedua-dua pihak bertelagah menarik balik sekatan, khususnya di Darfur Utara dan Kordofan, serta membenarkan akses bantuan kemanusiaan.
Pada Khamis, Rangkaian Doktor Sudan yang memantau konflik 28 bulan itu menuduh RSF membunuh sembilan orang awam, termasuk lima kanak-kanak dan empat wanita, dalam satu pengeboman “disengajakan” ke atas kem pelarian di El Fasher.
Serangan ke atas fasiliti Abu Shouk pada Rabu malam itu turut mencederakan 18 orang lain.
Terdahulu, rangkaian itu melaporkan RSF bersama militia bersekutu telah menyerang kampung al-Ghabshan al-Maramrah, merompak dan membakar beberapa rumah serta satu-satunya pusat kesihatan di kawasan itu.
Sekurang-kurangnya tujuh penduduk terbunuh manakala 13 lagi cedera dalam serangan Selasa lalu.
“Kejahatan kejam ini adalah sebahagian daripada corak berterusan pembunuhan sistematik dan penghapusan paksa yang dilakukan RSF terhadap orang awam di kawasan di bawah kawalannya,” menurut kenyataan itu.
Tentera Sudan turut mendakwa RSF mendapat sokongan tentera upahan asing, termasuk pejuang dari Colombia, dengan tajaan UAE. Bagaimanapun, kerajaan Emiriah Arab Bersatu menolak tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.-The Merdeka Times