Connect with us

Antarabangsa

Ibu Anas al-Sharif: ‘Anak saya dijemput ke Qatar, namun dia enggan tinggalkan Gaza’

Published

on

Foto: Anas al-Sharif mendukung anak lelakinya, Salah, berusia 15 bulan, serta anak perempuannya, Sham, berusia empat tahun.
  • Menurut Fawzia, Anas pernah ditawarkan peluang untuk meninggalkan Gaza bersama keluarganya ke Qatar, tetapi beliau menolak.
  • “Mereka menjemputnya ke Qatar. Dia berkata, ‘Saya tidak boleh pergi… saya hanya akan tinggalkan Gaza untuk ke syurga.’ Itulah misinya,” jelasnya.
  • Pada malam Ahad lalu, Anas dibunuh dengan kejam bersama lima rakan wartawan apabila tentera Israel menyerang khemah media dekat Hospital al-Shifa, Gaza tengah.

 

GAZA — Fawzia al-Sharif masih tidak tahu bagaimana untuk memulakan kisah tentang anaknya yang terbunuh, Anas al-Sharif.

“Apa yang boleh saya katakan? Tiada siapa seperti Anas,” katanya kepada Middle East Eye ketika ditemui di sebuah kem pelarian di Bandar Gaza.

Sejak pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza bermula pada Oktober 2023, Anas menjadi antara wartawan paling terkenal di wilayah itu.

Wartawan Al Jazeera Arabic ini disayangi dan disambut mesra oleh rakyat Palestin di mana sahaja beliau pergi.

Ketika melaporkan pengumuman gencatan senjata singkat pada Januari lalu, Anas diangkat ke bahu seorang penduduk yang bersorak gembira.

“Dia lembut dengan adik-beradiknya,” kata ibunya.

“Dia baik kepada orang di luar. Kepada semua orang, dalam semua perkara. Segala yang dia lakukan adalah kebaikan. Dia tidak pernah terlibat dalam perkara yang buruk,” tambahnya.

Pada malam Ahad lalu, Anas dibunuh dengan kejam bersama lima rakan wartawan apabila tentera Israel menyerang khemah media dekat Hospital al-Shifa, Gaza tengah.

Turut terkorban ialah wartawan Middle East Eye, Mohammed Qreiqeh, Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal, Moamen Aliwa dan Mohammed al-Khalidi. Serangan itu menjadikan jumlah wartawan yang dibunuh Israel sejak bermulanya pembunuhan beramai-ramai meningkat kepada 238 orang.

Fawzia masih mengingati kali terakhir dia bertemu Anas, 10 hari lalu.

“Sudah lama saya tidak melihatnya, tiba-tiba dia datang menziarahi saya. Kami duduk bersama. Saya gembira dengan kunjungannya. Kemudian dia pergi, dan saya tidak melihatnya lagi,” katanya.

Menurut Fawzia, Anas pernah ditawarkan peluang untuk meninggalkan Gaza bersama keluarganya ke Qatar, tetapi beliau menolak.

“Mereka menjemputnya ke Qatar. Dia berkata, ‘Saya tidak boleh pergi… saya hanya akan tinggalkan Gaza untuk ke syurga.’ Itulah misinya,” jelasnya.

Tentera Israel mendakwa, tanpa mengemukakan sebarang bukti kukuh, bahawa mereka membunuh Anas kerana beliau “mengetuai sel pengganas dalam organisasi pengganas Hamas”.

Israel sering membuat dakwaan tanpa asas terhadap wartawan, yang telah ditolak keras oleh Al Jazeera dan Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ). -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author