Terkini
Syria bergolak lagi, Israel dan SDF didakwa dalang
- Turkiye menegaskan bahawa Israel dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai kumpulan Kurdish mesti menghentikan ancaman terhadap keselamatan dan kestabilan Syria.
- Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menuduh Israel dan SDF sengaja menggagalkan usaha pemulihan Syria selepas perang saudara selama 14 tahun serta penyingkiran pemimpin lama Bashar al-Assad pada Disember lalu.
- Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani, turut mengecam tindakan Israel yang menurutnya melemahkan keselamatan rakyat Syria, serta menuduh ada pihak mahu negara itu berpecah mengikut ideologi dan etnik.
ANKARA – Konflik Syria kembali memuncak selepas Israel dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai kumpulan Kurdish didakwa dalang ancaman terhadap keselamatan dan kestabilan negara itu.
Turkiye menegaskan bahawa Israel dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai kumpulan Kurdish mesti menghentikan ancaman terhadap keselamatan dan kestabilan Syria.
Perkara itu dinyatakan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan ketika menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Syria, Asaad al-Shaibani, di Ankara.
Bercakap pada sidang media bersama pada Rabu, Hakan menuduh Israel dan SDF sengaja menggagalkan usaha pemulihan Syria selepas kemusnahan akibat perang saudara selama 14 tahun serta penyingkiran pemimpin lama Bashar al-Assad pada Disember lalu melalui serangan pantas pihak pemberontak.
Beliau mendakwa Israel “menyemarakkan kesulitan” di Syria dan memberi amaran bahawa keselamatan tidak boleh dicapai dengan menggugat negara jiran.
“Jika anda cuba menggugat kestabilan negara-negara ini, jika anda mengambil langkah ke arah itu, ia boleh mencetuskan krisis lain di rantau ini,” katanya.
Menteri Luar Syria, Asaad al-Shaibani, turut mengecam tindakan Israel yang menurutnya melemahkan keselamatan rakyat Syria, serta menuduh ada pihak mahu negara itu berpecah mengikut ideologi dan etnik.
Ketegangan memuncak selepas keganasan sektarian meletus di wilayah selatan Suwayda pada 13 Julai antara pejuang Badwi dan Druze.
Pertumpahan darah itu bertambah buruk apabila Israel melancarkan serangan terhadap tentera Syria dan mengebom pusat ibu kota Damsyik dengan alasan melindungi Druze.
Sejak kejatuhan Bashar, Israel dilaporkan kerap mengebom dan melakukan serangan darat di Syria, sambil melabel pemimpin kerajaan baharu sebagai “pelampau”.
Dalam masa sama, pertempuran antara tentera kerajaan Syria dan SDF di wilayah Aleppo pada Selasa terus menggugat perjanjian integrasi yang ditandatangani pada Mac lalu.
Kementerian Pertahanan Syria memberi amaran SDF mesti menghentikan serangan terhadap tentera kerajaan atau berdepan ancaman baharu.
Hubungan kedua-dua pihak semakin tegang apabila Syria membatalkan pertemuan dengan SDF di Paris minggu lalu, meskipun laporan menyebut mereka bertemu di Damsyik pada Selasa.
SDF, yang pernah menjadi sekutu utama Amerika Syarikat ketika menewaskan ISIL pada 2019, mendakwa puak disokong kerajaan menyerang kawasan di timur laut Syria lebih 22 kali minggu ini. – The Merdeka Times