Terkini
Bakteria ‘kebal ubat’ merebak di Gaza, risiko jangkitan tidak boleh dirawat
- Analisis saintifik baharu mendedahkan, lebih dua pertiga daripada jangkitan di Gaza kini tidak lagi boleh dirawat dengan ubat-ubatan biasa.
- Penemuan mengejutkan ini didedahkan satu ulasan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan terkemuka The Lancet.
- Kajian tersebut menganalisis 1,300 spesimen dari Hospital al-Ahli di Bandar Gaza antara November 2023 hingga Ogos 2024. Hasilnya, 66.9% sampel mengandungi bakteria tahan pelbagai ubat.
- Ia satu keadaan di mana kuman tidak dapat dibunuh walaupun menggunakan sekurang-kurangnya satu ubat dalam tiga atau lebih kelas antibiotik.
LONDON – Gaza kini berdepan ancaman senyap yang membunuh tanpa peluru — bakteria kebal antibiotik yang merebak dengan pantas.
Analisis saintifik baharu mendedahkan, lebih dua pertiga daripada jangkitan di wilayah itu kini tidak lagi boleh dirawat dengan ubat-ubatan biasa.
Penemuan mengejutkan ini didedahkan satu ulasan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan terkemuka The Lancet yang dilaporkan Middle East Eye.
Kajian tersebut menganalisis 1,300 spesimen dari Hospital al-Ahli di Bandar Gaza antara November 2023 hingga Ogos 2024. Hasilnya, 66.9% sampel mengandungi bakteria tahan pelbagai ubat.
Ia satu keadaan di mana kuman tidak dapat dibunuh walaupun menggunakan sekurang-kurangnya satu ubat dalam tiga atau lebih kelas antibiotik.
Antara antibiotik yang tidak lagi berkesan termasuk amoxicillin-clavulanate, cefuroxime dan cefotaxime. Lebih membimbangkan, rintangan terhadap ceftriaxone dan ceftazidime (ubat penting bagi merawat jangkitan luka) amat tinggi.
Malah, MRSA (methicillin-resistant Staphylococcus aureus), bakteria berbahaya yang boleh membawa maut, turut ditemui dalam beberapa sampel.
Ini adalah kajian pertama sejak bermulanya genosid Israel pada Oktober 2023 yang membuktikan betapa seriusnya ancaman bakteria kebal ubat di Gaza.
“Ini bermakna penyakit akan lebih lama, lebih serius, dan risiko jangkitan kepada orang lain amat tinggi. Lebih ramai akan mati akibat jangkitan yang dahulunya mudah dirawat. Lebih ramai pula terpaksa dipotong anggota. Gambaran ini amat mengerikan,” kata Krystel Moussally, penasihat epidemiologi Doctors Without Borders (MSF) kepada The Guardian.
Pengarang The Lancet menggesa komuniti perubatan antarabangsa bertindak segera.
“Pertama sekali, dunia mesti mendesak penghentian pencerobohan tentera Israel yang telah menyebabkan lonjakan kecederaan trauma serta serangan menyeluruh terhadap hospital, makmal, dan loji air,” tegas mereka.
Mereka memberi amaran keras: tanpa gencatan senjata, beban jangkitan akan terus melonjak, dan krisis ini bakal menjadi mimpi ngeri kesihatan global.
Mereka turut menuntut makmal yang masih berfungsi diperkukuh, dan bekalan ubat diselaraskan antara agensi bantuan serta penderma agar respons antimikrob disesuaikan dengan keperluan sebenar hospital-hospital di Gaza. – The Merdeka Times