Antarabangsa
Sephora pertimbang gugurkan Huda Beauty susulan kritikan terhadap Israel
- Video yang kini dipadamkan oleh TikTok, memaparkan Huda Kattan mendakwa Israel bertanggungjawab terhadap beberapa konflik besar dunia, termasuk Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, serangan 11 September, dan insiden 7 Oktober.
- Kenyataan itu mencetuskan bantahan segera daripada kumpulan advokasi Yahudi dan pengguna.
- Kumpulan seperti StopAntisemitism turut menghantar surat mendesak Sephora memutuskan kerjasama dengan Huda Beauty.
- Jurucakap Sephora menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu.
- “Mempromosikan kebencian, gangguan, atau maklumat salah tidak selari dengan nilai dan kod etika kami,” katanya sambil menambah syarikat itu sedang bekerjasama dengan Huda Beauty bagi menangani isu tersebut.
Rangkaian produk kosmetik terkenal, Sephora, mengesahkan pihaknya sedang meneliti semula hubungan perniagaannya dengan jenama Huda Beauty selepas pengasasnya, Huda Kattan, memuat naik video TikTok yang mengandungi dakwaan konspirasi terhadap Israel.
Video berkenaan, yang kini dipadamkan oleh TikTok, memaparkan Kattan mendakwa Israel bertanggungjawab terhadap beberapa konflik besar dunia, termasuk Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, serangan 11 September, dan insiden 7 Oktober.
“Adakah mereka di sebalik setiap Perang Dunia? Ya,” katanya dalam rakaman tersebut.
Kenyataan itu mencetuskan bantahan segera daripada kumpulan advokasi Yahudi dan pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Anti-Fitnah (ADL), Jonathan Greenblatt, mengecam dakwaan itu sebagai “mitos jijik” dan “bahaya”, sambil menyifatkan ia sebagai “kebencian hodoh” yang bertentangan dengan imej kecantikan yang dibina Kattan.
Jawatankuasa Yahudi Amerika (AJC) pula menggelar kenyataan Kattan sebagai “retorik antisemitik keji” dan “kebencian berusia berabad-abad yang dibungkus semula.”
Kumpulan seperti StopAntisemitism turut menghantar surat mendesak Sephora memutuskan kerjasama dengan Huda Beauty.
Dalam kenyataan balas, jurucakap Sephora menegaskan pihaknya memandang serius perkara itu.
“Mempromosikan kebencian, gangguan, atau maklumat salah tidak selari dengan nilai dan kod etika kami,” katanya sambil menambah syarikat itu sedang bekerjasama dengan Huda Beauty bagi menangani isu tersebut.
Namun, di media sosial, gerakan balas muncul menyokong pendirian pro-Palestin Kattan. Penyokongnya melancarkan tanda pagar #BoycottSephora dan menggesa pengguna membeli produk Huda Beauty secara terus dari laman rasmi atau peruncit lain.
Kattan sebelum ini tidak asing dengan kontroversi politik.
Pada 2021, beliau mengutuk pengusiran penduduk Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur. Pada 2023, beliau menyatakan sanggup mengorbankan keseluruhan perniagaan demi pendirian pro-Palestin, malah menolak “wang berdarah” ketika berdepan ancaman boikot pada Oktober tahun sama.
Selain isu politik, Kattan juga terkenal dengan usaha kemanusiaan, termasuk menyumbang 1 juta dolar kepada Doctors Without Borders dan Human Appeal untuk bantuan Gaza pada November 2023, serta menyokong gerakan Black Lives Matter dan komuniti Asia-Amerika.
Sehingga kini, beliau belum mengulas mengenai semakan semula kerjasama oleh Sephora.-The Merdeka Times