Connect with us

Antarabangsa

Ahli Parlimen BJP dikecam pertikai kod ‘GAY’ Lapangan Terbang Gaya

Published

on

Foto: Seorang ahli Parlimen daripada parti Bharatiya Janata Party (BJP), Bhim Singh
  • Beliau menyifatkan kod itu menyebabkan ketidakselesaan dan meminta kerajaan mempertimbangkan penukaran kepada kod yang lebih menghormati nilai budaya.
  • Menteri Penerbangan Awam, Murlidhar Mohol menjelaskan kod tiga huruf tersebut biasanya diambil berdasarkan nama lokasi lapangan terbang dan Lapangan Terbang Gaya telah menggunakan kod ‘GAY’ sejak awal.

 

NEW DELHI – Seorang ahli Parlimen daripada parti Bharatiya Janata Party (BJP) mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan supaya kod pengenalan Lapangan Terbang Antarabangsa Gaya di Bihar, India, iaitu ‘GAY’, ditukar kerana dianggap tidak sesuai dari segi sosial dan budaya.

Ahli Dewan Negara, Bhim Singh, dalam sesi Parlimen pada 4 Ogos lalu, mengemukakan pertanyaan bertulis mengenai kod tiga huruf yang digunakan oleh International Air Transport Association (IATA) untuk lapangan terbang tersebut.

Beliau menyifatkan kod itu menyebabkan ketidakselesaan dan meminta kerajaan mempertimbangkan penukaran kepada kod yang lebih menghormati nilai budaya.

Menteri bagi Penerbangan Awam, Murlidhar Mohol, dalam jawapan bertulis menjelaskan bahawa kod lapangan terbang yang ditetapkan IATA adalah kekal dan hanya diubah dalam keadaan luar biasa seperti isu keselamatan penerbangan.

Menurut beliau, kod tiga huruf tersebut biasanya diambil berdasarkan nama lokasi lapangan terbang dan Lapangan Terbang Gaya telah menggunakan kod ‘GAY’ sejak awal.

Mohol turut mengesahkan bahawa sebelum ini Kementerian Penerbangan Awam dan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India pernah menerima permintaan untuk menukar kod tersebut.

Malah, syarikat penerbangan Air India juga pernah memohon perubahan itu kepada IATA.

Namun, IATA memaklumkan bahawa berdasarkan Resolusi 763, kod yang telah diberikan adalah kekal dan hanya dipinda atas sebab-sebab keselamatan penerbangan yang kritikal.

Cadangan Bhim Singh itu mendapat kecaman hebat daripada aktivis komuniti LGBTQ di India. Mereka menyifatkan kenyataan tersebut bersifat prejudis dan mencerminkan sikap diskriminasi yang masih wujud terhadap komuniti tersebut di negara itu.

Aktivis menegaskan bahawa kod ‘GAY’ hanyalah kod lokasi lapangan terbang dan tidak seharusnya dijadikan isu budaya atau sosial yang memerlukan perubahan. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author