Connect with us

Kolumnis

PrEP: Ubat pencegah atau normalisasi seks berisiko?

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.

Setiap kali timbul isu berkaitan homoseksual ataupun Men Sex Men (MSM), pasti muncul desakan agar ubat PrEP diberikan kepada kelompok tersebut bagi menghalang penularan jangkitan HIV. 

Kebimbangan itu memang ada asasnya. Namun, pendekatan yang diambil hanya tertumpu untuk mengawal angka kes HIV semata-mata, tanpa menangani punca sebenar yang mendorong penularan penyakit ini.  

Lebih membimbangkan, ubat PrEP sering digambarkan seolah-olah ‘satu-satunya penyelesaian’ dalam mengekang wabak HIV. 

Namun, kita tidak boleh menilai sesuatu langkah pencegahan hanya dari sudut jangka pendek semata-mata. 

Langkah pencegahan yang benar-benar efektif bukan sekadar mengawal penyakit buat sementara waktu, tetapi seharusnya mampu membentuk gaya hidup sihat, menghentikan tingkah laku berisiko dan mendidik rasa tanggungjawab dalam jangka panjang. 

Sebagaimana kita bercita-cita untuk mencapai sifar gula dan sifar rokok dengan pelbagai inisiatif dilakukan demi kesihatan masyarakat. 

Mengapakah kita tidak meletakkan matlamat yang sama dalam menangani jangkitan penyakit MSM ini? 

Langkah pencegahan yang tepat bukan setakat menelan ubat. Ia menuntut perubahan dalam mewujudkan gaya hidup sifar risiko dalam isu kesihatan seksual. 

Inilah persoalannya. Adakah PrEP benar-benar mencapai objektif pencegahan atau sekadar makin menormalisasi seks bebas berisiko? 

Fakta PrEP yang sering disembunyikan 

Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) adalah ubat oral yang ditawarkan  kepada individu berisiko tinggi bagi mencegah jangkitan HIV yang tersebar melalui hubungan kelamin ataupun perkongsian jarum suntikan.

Menurut kajian, PrEP mampu menurunkan risiko HIV sehingga 99 peratus jika diambil secara konsisten. 

Tidak hairanlah jika ubat PrEP sering dipromosikan seakan menjadi ‘penyelamat utama’ bagi golongan Men Sex Men (MSM) ini. 

Namun di sebalik berita keberkesanan ubat HIV ini, ada realiti tersembunyi yang jarang dibincangkan dalam media arus perdana. 

Pakar kesihatan seksual, Dr. Jenell Stewart mendedahkan PrEP tidak memberi perlindungan terhadap penyakit kelamin lain (STI) seperti sifilis, gonorrhea, dan chlamydia

Malah, beliau mendapati telah berlakunya satu fenomena peningkatan STI yang melonjak naik di seluruh dunia selepas penggunaan PrEP. 

“Kadar STI semakin meningkat di seluruh dunia, dengan peningkatan mendadak kes sifilis, gonorrhea, dan chlamydia dalam kalangan lelaki yang melakukan seks dengan lelaki (MSM)..serta peningkatan kejadian jangkitan STI bakteria gabungan sebanyak 41–72 peratus,” katanya. 

Kajian Samuel M. Jenness juga mendapati sebanyak 50 peratus pengguna PrEP dijangkiti STI lain dalam tempoh 12 bulan selepas mula menggunakan ubat tersebut, kesan daripada tingkah laku berisiko. 

Beliau menjelaskan, “Mekanisme utama yang menyebabkan penggunaan PrEP boleh meningkatkan penyakit kelamin (STI) adalah berpunca tingkah laku berisiko (behavioral risk compensation). (Ini kerana) Golongan MSM yang mula menggunakan PrEP mungkin akan mengurangkan penggunaan strategi pencegahan penyakit lain.” 

Barangkali tingkah laku berisiko ini berpunca daripada ‘jaminan’ keberkesanan PrEP dalam mencegah HIV yang membuatkan ramai penggunanya percaya bahawa mereka kini “kebal” daripada ancaman penyakit.

Ini membuatkan mereka semakin berani terlibat dalam tingkah laku seksual yang berisiko seperti melakukan hubungan seks tanpa kondom, berhubungan dengan kelompok yang lebih berisiko tinggi dan menambah bilangan pasangan seksual mereka. 

Malah, ada kajian lain turut mengesahkan fenomena ini. Contohnya, kajian Traeger menunjukkan peningkatan STI sebanyak 12 kali ganda selepas pengambilan PrEP dalam tempoh dua tahun. 

Tingkah laku sebegini telah membawa kepada fenomena domino effect — walau HIV dapat dikawal, tetapi penyakit kelamin lain pula yang melonjak 

Jika PrEP hanya menukar risiko HIV dengan penyakit kelamin lain, adakah itu benar-benar pencegahan yang berkesan?

Atau adakah ia sebenarnya menormalisasi seks bebas berisiko di bawah perlindungan ‘ubat pencegah HIV’?

Hentikan Domino Effect dengan Abstinen!

Setakat mengambil ubat PrEP sebagai ‘lesen’ untuk meneruskan hidup berisiko bukanlah penyelesaian jangka panjang yang tepat. 

Pencegahan yang berkesan tidak boleh bergantung kepada sekadar ubat. Sebaliknya, ia memerlukan kepada perubahan gaya hidup ke arah sifar risiko. Bagaimanakah caranya? 

Caranya adalah dengan mencegah daripada akar yang menjadi punca segala penyakit MSM, iaitu dengan menghentikan perbuatan hubungan homoseksual itu sendiri atau abstinen. 

Tanpa menghentikan punca masalah, segala bentuk pencegahan lain hanyalah langkah sementara yang tidak akan memutuskan rantaian penyakit. 

Sebagaimana kita mahu masyarakat mencapai sifar gula dan sifar rokok melalui pelbagai kempen, inisiatif dan polisi kerajaan yang dilaksanakan, pendekatan yang sama juga seharusnya dilakukan dalam mempromosikan gaya hidup sifar risiko dalam kesihatan seksual.

Mungkin ada yang membantah, dengan mengatakan PrEP jauh lebih efektif berbanding abstinen kerana sukar bagi golongan MSM untuk meninggalkan perbuatan itu

Namun, wajarkah kita hanya menyerah begitu sahaja tanpa berusaha membentuk polisi yang menyediakan alternatif gaya hidup yang lebih sihat dan bertanggungjawab? 

Apakah usaha kerajaan dalam membentuk gaya hidup sifar risiko selain bergantung kepada PrEP semata-mata? 

Tanpa sebarang inisiatif hatta kempen ke arah itu, mana mungkin kita akan nampak keberkesanan sebenar langkah abstinen ini. 

Jika kita benar-benar ingin memutuskan rantaian penyakit ini, sudah tiba masanya kita kembali kepada pencegahan yang paling asas — iaitu, menghentikan tingkah laku seksual berisiko. 

Selagi puncanya tidak ditangani, tiada ubat yang mampu menghentikan wabak ini sepenuhnya. 

Inilah sunnatullah yang tidak akan berubah. Sebagaimana sabda Nabi SAW: 

“Tidaklah muncul perbuatan keji (zina) pada suatu kaum yang melakukannya secara terang-terangan kecuali Allah akan menimpakan kepada mereka (wabak) Ta’un dan pelbagai penyakit yang belum pernah menimpa kepada orang-orang sebelum mereka.” (HR. Ibnu Majah, 4019). — The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.



Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author