Connect with us

Terkini

“20,000 remaja terjebak vape, tapi hanya 27 notis kompaun membeli dikeluarkan?” – NGO

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Itu antara persoalan dibangkitkan Medical Mythbusters Malaysia merujuk infografik terkini dikongsikan Menteri Kesihatan yang menunjukkan hanya 27 notis kompaun dikeluarkan kepada remaja yang membeli vape.
  • Angka itu dilihat sangat kecil jika dibandingkan dengan pendedahan KPM pada Februari lalu yang merekodkan hampir 20,000 murid sekolah terjebak penggunaan vape sepanjang 2024.
  • Menurut Medical Mythbusters Malaysia adalah mengejutkan dan mengecewakan apabila hanya 27 notis kompaun dikeluarkan kepada remaja membeli vape, yang sekali gus menimbulkan persoalan tindakan apa pula dikenakan kepada penjual vape yang menjual produk itu kepada kelompok remaja berkenaan.
  • Medical Mythbusters Malaysia menegaskan dalam isu ini sudah tiba masanya kita menyasarkan kepada penjual yang secara terang-terangan menjual kepada budak sekolah dan bukan hanya menghukum mereka yang terjebak.

KUALA LUMPUR — “20,000 remaja terjebak vape, tapi hanya 27 notis kompaun membeli dikeluarkan?”

Itu antara persoalan dibangkitkan Medical Mythbusters Malaysia merujuk kepada infografik terkini dikongsikan Menteri Kesihatan yang menunjukkan hanya 27 notis kompaun dikeluarkan kepada remaja yang membeli vape.

Angka itu dilihat sangat kecil jika dibandingkan dengan pendedahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Februari lalu yang merekodkan hampir 20,000 murid sekolah telah terjebak dalam penggunaan rokok elektronik (vape) sepanjang tahun 2024.

“Angka ini bukan kecil. Ini bukan isu terpencil. Ini adalah krisis kesihatan awam yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Ia mungkin anak-anak yang kita kenal, malah mungkin anak-anak kita sendiri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Justeru, menurut Medical Mythbusters Malaysia adalah mengejutkan dan mengecewakan apabila dalam infografik terbabit hanya 27 notis kompaun dikeluarkan kepada remaja membeli vape, yang sekali gus menimbulkan persoalan tindakan apa pula dikenakan kepada penjual vape yang menjual produk itu kepada kelompok remaja berkenaan.

“Mana tindakannya? (kepada penjual vape) Kenapa tiada data diberikan? Adakah mereka ini kebal undang-undang? Adakah mereka ini ‘untouchable’?

“Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam) sepatutnya menjadi benteng untuk melindungi generasi muda kita daripada bahaya vape. Ini memang telah termaktub dan seharusnya penguatkuasaan telah berjalan tanpa alasan!

“Remaja ditegur, dihukum — penjual terlepas? Anak-anak kita jadi mangsa, tapi rasa-rasanya siapa pemangsa?,” soalnya.



Foto: Infografik dan tangkap layar artikel berita tempatan dikongsikan Medical Mythbusters Malaysia di hantaran Facebook terbabit.

 

Medical Mythbusters Malaysia menegaskan dalam isu ini sudah tiba masanya kita menyasarkan kepada akar masalah iaitu penjual yang secara terang-terangan menjual kepada budak sekolah dan bukan hanya menghukum mereka yang terjebak.

Sehubungan itu, Medical Mythbusters Malaysia menuntut ketelusan data penguatkuasaan terhadap tindakan kepada penjual setakat ini dan menggesa tindakan tegas dan menyeluruh terhadap penjual yang melanggar undang-undang diperlihatkan kepada masyarakat sebagai tanda kita serius memerangi ketagihan vape dalam kalangan remaja.

Tuntutan itu diakhiri dengan peringatan agar penguatkuasaan tersebut tidak dijadikan sekadar kosmetik, sedangkan generasi muda terus tenggelam dalam wap aerosol berperisa tiruan. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author