Connect with us

Terkini

Persatuan doktor kecam Menteri Kesihatan gagal pertahan profesion perubatan

Published

on

foto: Presiden FPMPAM, Dr Shanmuganathan Ganeson (kiri) & Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan).
  • Presiden FPMPAM, Dr Shanmuganathan Ganeson, dalam satu kenyataan tegas menyatakan rasa amat kecewa dengan tindakan Naccol yang mewajibkan preskripsi dan penetapan harga ubat secara terbuka, selain pengeluaran bil yang diperincikan, tanpa mempertimbangkan implikasi terhadap amalan klinikal.
  • “Keanggotaan anda dalam Naccol bukan sekadar simbolik, anda harus menjadi pelindung sistem Kesihatan. Jika menteri tidak bersuara untuk doktor, maka doktor sendiri akan bersuara dengan lantang, jelas dan tanpa kompromi,” tegas Dr Shanmuganathan.

 

KUALA LUMPUR — Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) hari ini mengecam Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kerana didakwa gagal mempertahankan profesion perubatan susulan keputusan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (Naccol) berkaitan penguatkuasaan preskripsi dan bil terperinci di klinik swasta.

Presiden FPMPAM, Dr Shanmuganathan Ganeson, dalam satu kenyataan tegas menyatakan rasa amat kecewa dengan tindakan Naccol yang mewajibkan preskripsi dan penetapan harga ubat secara terbuka, selain pengeluaran bil yang diperincikan, tanpa mempertimbangkan implikasi terhadap amalan klinikal.

Menurut beliau, Menteri Kesihatan selaku anggota Naccol turut hadir dalam perbincangan dasar tersebut tetapi gagal membantah tindakan yang didakwa melangkaui bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Ini bukan sekadar kecuaian, ia adalah satu pengkhianatan terhadap kepercayaan,”

“Di manakah menteri ketika doktor dipaksa mengikut arahan luar bidang kuasa? Di manakah menteri ketika klinik diserbu? Dan sekarang, di manakah menteri ketika Naccol menetapkan bagaimana doktor perlu merawat dan mengenakan caj kepada pesakit?” soalnya.

Semalam, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Naccol telah memandatkan preskripsi dan bil terperinci wajib bagi klinik swasta, selain arahan paparan harga ubat yang dikuatkuasakan mulai 1 Mei di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

FPMPAM menggesa Dzulkefly agar segera menyatakan pendirian beliau secara terbuka serta menegaskan bahawa hanya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mempunyai bidang kuasa untuk mengawal selia amalan klinikal.

“Keanggotaan anda dalam Naccol bukan sekadar simbolik, anda harus menjadi pelindung sistem Kesihatan.

“Jika menteri tidak bersuara untuk doktor, maka doktor sendiri akan bersuara dengan lantang, jelas dan tanpa kompromi,” tegas Dr Shanmuganathan.

FPMPAM turut menyifatkan pengumuman Fuziah di Parlimen sebagai “serangan langsung terhadap autonomi profesional doktor”-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author